Monday, November 22, 2010

Diana Amir Jawab Gosip Cinta Pelawak

MUDAH saja kemesraan kami terjalin biarpun pertama kali bersua. Seringkas identiti dan perwatakan penama Nurdiyana Amir Hashim (Diana Amir) ini cekap membina keserasian bagi melancarkan urusan fotografi Mingguan mStar, baru-baru ini.

Kelincahan yang mewarnai perilaku pelakon yang senang disapa dengan panggilan Diana ini tatkala berbual memang tidak dinafikan mudah menawan kebanyakan lelaki.

Bagi yang lebih mengenali karakter dan keperibadiannya, kriteria itu pasti menarik perhatian mana-mana jejaka.

Terlanjur menyentuh pesona yang dipamerkannya itu, jurnal cinta gadis yang berasal dari Johor Baru ini lantas diselak, sekadar ingin berkongsi tentang status dirinya.

Balas Diana, dia kini tidak menjalin hubungan cinta dengan sesiapa dan selesa bergelar solo demi tuntutan kerja yang menjadi keutamaannya.

“Saya masih solo dan tidak terfikir untuk bercinta kembali. Memang sebelum ini ada seseorang yang istimewa bertakhta di hati tapi hubungan kami sudah berakhir.

“Tumpuan saya pada waktu ini adalah pada karier lakonan yang sedang berkembang. Bukan tidak mahu bercinta lagi cuma kesibukan kerja membatasi waktu untuk berfikir soal itu. Biarlah saya bina karier dulu, cinta menyusul kemudian,” katanya.

Dicuit pula tentang cerita hubungannya dengan pengacara dan pelawak Zizan (Raja Lawak) yang rancak diperkatakan, Diana membalas tiada apa yang serius berlaku di antara mereka.

Walaupun gosip itu tersebar luas, gadis berusia 24 tahun ini menyifatkan hubungannya dengan hos program Raja Lawak itu atas nama persahabatan semata-mata.

“Saya akui memang cerita antara saya dan Zizan pernah diperkatakan dan orang mula menganggap saya ada hubungan istimewa dengannya tetapi ia cerita yang tidak betul.

“Saya selesa berkawan dengan Zizan tetapi tiada apa-apa hubungan yang serius terjalin antara kami, hanya sekadar kawan,” katanya.

Jawapan ringkas yang dilantunkan dengan gestur selamba itu terus mengundang keraguan adakah si jelita ini cuba menyembunyikan sesuatu. Namun, Diana sedikit pun tidak berganjak daripada jawapannya sambil menunjukkan reaksi untuk beralih subjek.

“Saya memang tiada masalah untuk berkongsi cerita cinta tetapi gosip yang mengaitkan saya dengan Zizan adalah tidak benar.

“Memang kami pernah keluar makan bersama tetapi ia tidak lebih daripada hubungan antara teman saja. Hakikatnya saya dan Zizan memang tiada apa-apa hubungan istimewa,” katanya.

Demi watak tomboi

Di awal kemunculannya, gadis berbintang Gemini ini pernah diselar kerana penampilan yang kurang menyenangkan dan seksi sehingga ada yang melabelnya sebagai gadis liar.Apabila subjek itu dibangkitkan, Diana tidak melatah atau menyalahkan mana-mana pihak tentang tanggapan itu.

“Persepsi itu terbina mungkin disebabkan oleh faktor watak lakonan dan imej yang diperagakan di mata umum namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak atas pandangan itu.

“Jika pandangan negatif itu terbina disebabkan oleh karakter yang dijayakan, mungkin tidak adil saya dihakimi sebegitu kerana ia hanyalah lakonan dan bukan refleksi diri yang sebenar.

“Namun, jika persepsi itu hadir kerana kealpaan dan sikap kurang peka terhadap persekitaran dalam menjaga penampilan, saya cuba perbaiki dan lebih berhati-hati kini.

“Sebagai orang baru, saya hargai apa jua teguran dan pandangan orang ramai terhadap kerja dan penampilan saya kerana beradanya saya di sini adalah berkat sokongan dan perhatian orang ramai,” katanya.

Tampil pula dengan potongan rambut pendek yang lebih ranggi, Diana menyifatkan perubahan itu bukan gambaran kepada imej seksi atau nakal yang pernah ditujukan kepadanya sebelum ini.

Sebaliknya, ia dilakukan demi komitmen terhadap watak gadis tomboi dalam filem terbarunya, 321 Cinta (arahan Azhari Zain).

“Masa mula-mula potong rambut pendek, memang emak bising dan banyak bertanya tetapi saya menjelaskan ia dilakukan atas tuntutan kerja.

“Saya potong rambut bukan sengaja hendak mengundang persepsi negatif orang lain tetapi untuk menjadikan karakter gadis tomboi itu lebih realistik.

“Ini adalah tawaran pertama sebagai watak utama, jadi sudah tentu saya ingin beri komitmen sebaik mungkin. Saya harap tiada pihak yang salah faham dengan penampilan ini,” katanya.

Boleh berlakon komedi

Beralih pula ke soal kerjaya, graduan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengakui karier lakonan yang kian bercambah memberikan pengalaman baru dan menarik kepadanya setiap hari.

Jika di awal pembabitan, Diana sering disogokkan dengan watak-watak hitam dan serius sehingga pernah dipalit dengan pelbagai andaian negatif, namun dia mula melihat evolusi dan anjakan dalam kariernya.

“Saya puas dan gembira dengan karier lakonan saya. Bagi saya, perjalanan karier ini menapak dengan baik sedikit demi sedikit.

“Sebelum ini, saya sering diberikan watak-watak hitam dan gadis berimej seksi dan nakal, namun sejak kebelakangan ini saya mula menerima watak yang bervariasi.

“Bagi saya, itu adalah satu perkembangan yang baik bukan saja untuk peningkatan mutu lakonan malah membuka mata penonton akan kebolehan saya,” katanya.

Kebelakangan ini, pembabitan Diana dalam drama dan filem berjalur komedi seperti siri Jangan Pandang Belakang Congkak (arahan Ismail Bob Hasim) dan filem 321 Cinta mencorakkan lagi karier lakonannya.

“Saya tidak sangka boleh menjayakan watak-watak lebih ringan dan komedi sehinggalah terbabit dalam beberapa drama dan filem komedi.

“Memang banyak yang perlu saya perbaiki tapi sekurang-kurangnya saya menepati kehendak pengarah dan berharap ia dapat menarik perhatian penonton. Apa pun, setiap tawaran yang saya terima akan cuba dipersembahkan sehabis daya,” katanya.

Terbaru, gadis yang membina nama menerusi drama bersiri Impian Sunsilk 1 dan 2 ini bakal muncul pula dengan filem arahan Ahmad Idham berjudul Aku Masih Dara pada 16 Disember ini.

Filem yang berkisar kepada isu kerosakan akhlak dan amalan hidup bebas di kalangan remaja hari ini menampilkan Diana sebagai Hani, seorang gadis yang terjerumus dalam kancah kehidupan penuh noda ekoran kesukaran hidup yang dilaluinya.

Selain Diana, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon pelapis tanah air seperti Yana Samsudin, Raja Farah, Farid Kamil dan Ashraf Muslim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: