Thursday, November 18, 2010

Kehebatan, tragedi pelagak ngeri


DANIEL CRAIG sebagai James Bond dalam satu adengan filem James Bond, Casino Royale.


PADA era awal industri perfileman di Hollywood, sesetengah aktor terkenal filem tanpa suara seperti Buster Keaton dan Charlie Chaplin melakonkan sendiri babak lagak ngeri yang melibatkan fizikal badan.

Namun, disebabkan ia agak berbahaya dan memandangkan kebanyakan pelakon tidak terlatih dalam bidang lagak ngeri, pembikin filem dan syarikat-syarikat insurans yang bekerjasama dengan syarikat-syarikat filem mengupah pelakon pengganti kepada watak pelakon untuk babak lagak ngeri.

Kebanyakan pelakon filem aksi menggunakan pelakon pengganti atau dalam istilah popularnya, stuntman.

Biarpun begitu, ada segelintir daripada mereka yang melakukan sendiri babak lagak ngeri demi kepuasan penonton sebagai contohnya ialah pelakon tersohor Hong Kong yang sudah mencipta nama di Hollywood, Jackie Chan.

Begitu juga dengan aktor Thailand, Tony Jaa yang cukup terkenal dengan siri filem Ong-Bak, aktor popular industri filem India Selatan atau Kollywood, Jayan atau nama sebenarnya, Krishnan Nair serta aktor tersohor industri filem Hindustan atau Bollywood, Hrithik Roshan untuk filem Krrish dan Dhoom 2.

Antara pelagak ngeri profesional di Hollywood yang paling diingati dan menjadi legenda ialah mendiang Yakima Cannut (1895-1986) yang sering melakonkan lagak ngeri filem-filem koboi, khususnya untuk babak melompat di atas kereta kuda seperti dalam filem Stagecoach yang mana dia menjadi pelakon ganti kepada hero filem itu, John Wayne.


DAR ROBBINSON mencatat rekod dunia hasil terjunan daripada CN Tower di Toronto, Kanada pada 12 Ogos, 1980.


Seorang lagi pelagak ngeri lagenda Hollywood ialah mendiang Dar Robbinson (1947-1986) yang mana jejak langkahnya turut diwarisi dua anak lelakinya, Troy dan Shawn Robbinson.

Sementara itu, aktor terkenal Hollywood, Tom Cruise juga pernah melakonkan sendiri babak lagak ngeri untuk trilogi filem Mission: Impossible serta sekuel terbarunya, Mission: Impossible: Ghost Protocol, selain filem Minority Report.

Begitu juga dengan aktor Daniel Craig untuk siri filem James Bond lakonannya dan aktor Viggo Mortenson untuk siri filem The Lords of the Rings.

Namun begitu, setiap kemasyhuran tidak lengkap tanpa disulami tragedi, tidak terkecuali bagi golongan pelagak ngeri.

Di Hollywood adalah dianggarkan purata sebanyak lima kematian pelagak ngeri bagi setiap 2,000 pelagak ngeri yang mengalami kecederaan.

Dalam tempoh tahun 1980 hingga 1990, sebanyak 37 kematian pelagak ngeri di Hollywood dicatatkan ketika terbabit dalam penggambaran babak ngeri dengan 24 daripada kematian itu membabitkan kemalangan helikopter.

Berikut senarai antara pelakon lagak ngeri yang meninggal dunia penuh tragedi di lokasi penggambaran:

* Sekitar pukul 5.30 pagi pada 24 Ogos, 2006, pelakon lagak ngeri filem Jangan Pandang Belakang, Nazari Omar Bakri,42, terbunuh selepas gagal terjun ke atas longgokan kotak yang disusun sebelum terhempas ke atas tanah dari tingkat tiga.

Allahyarham Nazari yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang lagak ngeri merupakan pelakon pengganti untuk watak hero filem tersebut yang dilakonkan oleh aktor Pierre Andre.

* Pelakon lagak ngeri filem The Skywayman (1920), Omer Locklear terbunuh akibat kapal terbang yang dipandunya terhempas.

* Sepanjang 19 tahun kariernya sebagai pelagak ngeri di Hollywood antaranya untuk filem Cyclone, Sharky's Machine dan Lethal Weapon, Dar Robbinson tidak pernah tercedera.

Dia malah mencatat Guinness World Record apabila membuat terjunan dari atas bangunan CN Tower di Toronto, Kanada dengan ketinggian 366 meter (1,200 kaki) dengan hanya menggunakan tali kabel yang cuma berukuran 3 milimeter untuk filem dokumentari bagi siaran TV, World's Most Spectacular Stuntman pada 12 Ogos, 1980.


TOM CRUISE melakukan lagak ngeri sendiri untuk filem terbarunya, Mission: Impossible - Ghost Protocol.


Namun, ketika berlakon babak ngeri di set penggambaran filem Million Dollar Mystery pada 21 November, 1986, Dar gagal mengawal motosikal yang ditungganginya sehingga membawa kepada kematiannya.

* Pelakon terkenal Kollywood, Jayan yang ketika itu berusia 42 tahun meninggal dunia di set penggambaran filem Kolilakkam di Sholavaram, berhampiran Chennai, India pada 16 November, 1980.

Meninggal dunia di puncak kerjayanya, ketika itu dia melakonkan sendiri babak melompat dari motosikal ke atas kapal terbang. Namun, dia meninggal dunia akibat kapal terbang itu terhempas.

* Anak pelakon aksi legenda Bruce Lee yang menceburkan diri sebagai pelakon di Hollywood, Brandon Lee terbunuh di set penggambaran filem The Crow pada 31 Mac, 1993.

Dia meninggal ketika melakonkan sendiri babak ngeri tembak menembak dalam filem itu apabila pistol yang digunakan untuk menembak Brandon oleh seorang pelakon pembantu tanpa diketahui mengandungi peluru hidup.

2 comments:

  1. crita ni sama ja dlm kosmo ri ni,

    ReplyDelete
  2. ; dah memang amik dari paper kot =.=''

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: