Saturday, November 20, 2010

ERRA Kesian Dengan Pembuat Fitnah

Khabar angin rumahtangga Erra dan suaminya, Engku Emran semakin kencang bertiup. Namun si empunya diri tetap bersahaja dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu meletup. Baguslah jika begitu, kenapa mahu marah jika perkahwinan yang dibina berjalan tenang dan bahagia tambahan pula selepas kehadiran Engku Aleesya.

"Kalau boleh percayalah cerita yang datang daripada empunya diri. Takkan lah orang lain lebih tahu mengenai kehidupan kita. Senang cerita jangan terlampau percaya cakap orang.

"Tak ada sebab orang nak reka cerita bukan-bukan kerana kami bahagia. Atau mungkin orang itu terlampau kreatif sampai mampu berimaginasi dan mereka cerita begitu. Atau mungkin dia bencikan Erra. Namun jujurnya Erra sendiri tak dapat beri jawapan kenapa cerita itu boleh keluar.

"Dalam dunia ini perasaan benci dan suka memang tak dapat dipisahkan. Jangan kata bila kita ni artis, orang akan selalu suka. Inilah yang terjadi bila mentaliti seseorang itu negatif, sentiasa fikir yang tak elok untuk menjatuhkan orang," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Erra Back to School bersama Staedtler.

Susah apabila menjadi perhatian, setiap apa yang dilakukan pasti diperkata. Erra sendiri sudah lali dengan kata nista atau fitnah yang dilemparkan, namun bagaimana pula dengan suaminya yang baru terdedah kepada pancaroba yang serba baru dalam kehidupannya selepas mengahwini diva popular ini.

"Bila Erra bawa suami ke hulu hilir pun orang berkata. Kalau tak bawa orang kata ada masalah rumahtangga. Namun sejujurnya, Erra lebih senang bergerak sendiri jika ada aktiviti berkaitan kerja.

"Kesian tengok suami yang tertekan dengan gosip begini sebab dia tak biasa. Dia terkejut macam mana boleh keluar cerita tak elok pasal kami, namun Erra hanya nasihat supaya bertenang kerana memang resam dunia hiburan begitu. Erra pernah kena yang lebih teruk daripada ini, sebab itu Erra masih boleh bersabar.

"Erra lebih senang ambil pendekatan kasihan kerana mungkin emosinya terganggu ketika itu. Orang yang waras tak mungkin ada masa untuk buat cerita begini. Harap dia akan sedar sendiri dengan perbuatannya dan ingatlah tuhan maha berkuasa," katanya yang merancang untuk cahaya mata kedua.



Erra Art Club

Perkembangan hidupnya semakin terarah kepada puteri hati, Engku Alessya dan sejajar dengan itu, naluri keibuannya mendesak Erra memupuk kemahiran kreatif anaknya sehingga timbul idea melahirkan Erra Art Club. Usahanya disambut baik oleh produk terkemuka Staedtler yang pertama kali berkolaborasi untuk projek seumpama ini.

"Sebagai ibu, Erra mahukan yang terbaik untuk Aleesya dan sebab itulah timbul idea untuk berikan pendedahan kreatif kepadanya sejak kecil. Saya amat terhutang budi dengan Richie Rachman yang telah mengatur pertemuan dengan Staedtler yang menjadikan idea ini satu kenyataan.

"Erra Art Club akan terlibat dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan dan pertandingan melukis dan membolehkan ahli memuat naik karya mereka untuk dikongsi bersama melalui laman web www.erra-artclub.com.my.

"Kami juga sediakan bahan kreatif untuk orang dewasa seperti pembuatan pasu, rantai dan gelang. Di samping itu, Staedtler bermurah hati mewujudkan dana Erra Fazira-Staedtler untuk membantu golongan kurang bernasib baik," ujarnya.

Acara pertama Erra Art Club akan bermula 20 November di Popular Ikano Power Centre dari jam 3.30 petang hingga 7.30 petang dan antara hiburan yang menanti adalah peraduan mewarna dan keraian menyambut hari jadi Friedrich Staedtler yang ke-375. Waris kepada Staedtler juga akan memberi edisi terhad pensel bersejarah secara percuma yang akan dihasilkan dengan tangan beliau sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: