
GEORGE TOWN - Seorang tukang tilik biasanya meramalkan nasib dan masa depan orang lain. Bagaimanapun bagi seorang tukang tilik di sini, dia gagal meramal nasibnya sendiri.
Dalam satu kejadian di sebuah restoran berdekatan Jalan Masjid Negeri di sini malam kelmarin, seorang tukang tilik putus tangan kirinya akibat ditetak oleh lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa Th'ng Keat Seong, 44, dipercayai diserang dengan kejam semasa sedang berjalan menuju ke kereta Mercedes Benz miliknya di Jalan Lintang Emas di sini.
Polis percaya mangsa diserang berdekatan but kereta sebelum penyerangnya bertindak menetak tangan mangsa hingga putus berdasarkan kesan darah yang ditemui di tempat kejadian.
Mangsa yang mengerang kesakitan kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta oleh orang ramai yang melalui kawasan berdekatan.
Difahamkan, pihak polis sedang mencari pergelangan tangan mangsa yang hilang dan masih giat menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif serta berapa ramai suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa masih dirawat di hospital dan pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki itu berhubung kejadian itu.
"Kita juga minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan kes yang akan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, usaha sekumpulan pihak media untuk menemuramah mangsa gagal kerana dia masih dalam keadaan terkejut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: