Thursday, October 21, 2010

Stesen Kereta Api JB ditutup


STESEN Kereta Api Johor Bahru yang telah menamatkan perkhidmatannya malam tadi.


JOHOR BAHRU – Tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara bandar berlepas buat kali terakhir dari Stesen Kereta Api Johor Bahru di sini malam tadi menandakan berakhirnya perkhidmatan stesen tersebut.

Tren lapan gerabak yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Singapura itu berlepas pukul 11 malam dan membawa kira-kira 300 penumpang.

Ia dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 6 pagi hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Ipoh.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail berkata, berikutan penutupan stesen yang dibuka sejak 1 September 1932 itu, semua tren kereta api antara bandar akan beroperasi di Stesen JB Sentral yang baru mulai hari ini.

“Pemindahan lokasi ke Stesen JB Sentral dijangka memberi banyak kelebihan kepada KTMB dan pengguna kerana stesen itu menawarkan ruang lebih luas dan selesa serta dilengkapi fasiliti lebih moden.

“Stesen JB Sentral juga mampu menampung sehingga 2,500 penumpang setiap hari berbanding 500 penumpang di Stesen Kereta Api Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bangunan itu katanya, sedang dipertimbangkan untuk dibangunkan sebagai Muzium Mini KTMB Wilayah Selatan.

Stesen JB Sentral yang berharga RM2 bilion mula dibina pada tahun 2008 telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semasa Majlis Kembara Mahkota Johor 2010 Fasa Satu Kembara Kereta Api pada 26 Jun lalu.

Selain KTMB, premis lain yang turut beroperasi di bangunan itu ialah Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

Ia turut menempatkan Jabatan Kesihatan Malaysia, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: