
MEREKA memiliki perwatakan yang hampir serupa. Bukan sahaja bijak, bergaya, bersifat ceria dan memiliki raut wajah comel, malah berbakat dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Jadi, tidak perlu dipertikaikan empat orang selebriti remaja pilihan produksi Disney Channel yang sering membintangi rangkaian siri televisyen terbitan Kumpulan Televisyen Disney-ABC Television, The Walt Disney Company.
Meskipun tidak membintangi siri televisyen yang sama tetapi Selena Gomez, Miley Cyrus, Vanessa Hudgens dan Demi Lovato berjaya mencipta populariti dan fenomena dalam kalangan kelompok remaja dan kanak-kanak di seluruh negara khususnya di Amerika Syarikat (AS).
Malah ada pengamal media dan penggiat industri menggelarkan mereka Superstars Disney.
Berbekalkan pesona dan gaya tersendiri dalam siri televisyen yang dijayakan, ia melonjakkan nama mereka dalam sekelip mata. Lebih membanggakan keempat-empat gadis kelahiran AS itu dilantik menjadi duta untuk produk kecantikan dan label fesyen antarabangsa.
Para peminat bukan sahaja mengikuti siri televisyen yang dibintangi mereka bahkan tidak melepaskan peluang meniru teknik solekan, dandanan dan stail pakaian yang dipraktikan oleh mereka.
“Semestinya saya teruja kerana peminat memberi sokongan terhadap perjalanan seni saya selama ini. Lebih terharu apabila penampilan saya mula menjadi ikutan peminat berusia 15 tahun ke bawah.
![]() |
| MENJADI remaja jelita yang memikat hati Zac Efron dalam High School Musical, Vanessa lekas mencipta nama di Hollywood. |
“Ramai yang menyangka selebriti seperti saya sentiasa dibaluti busana dan aksesori berjenama dan mewah. Sedangkan saya individu yang ringkas. Cukup sekadar menggayakan seluar potongan tirus, baju-T dan mengikat rambut ala ekor kuda apabila keluar bersantai,” jelas pelakon utama siri Wizards of Waverly Place, Selena Marie Gomez yang berusia 18 tahun.
Selain itu, anak tunggal kepada pasangan Ricardo Gomez dan Mandy Teefey itu turut menolak lembut sekiranya diminta berpakaian seksi. Dia enggan penampilan sedemikian meninggalkan impak negatif kepada kanak-kanak dan mencetuskan kemarahan golongan ibu bapa.
Namun, penggemar koleksi kasut Converse pelbagai warna dan potongan itu mengakui gaun anggun meleret dan dres mini masih relevan digayakan sewaktu menghadiri majlis formal dan acara karpet merah serta menjayakan klip video.
Selena yang berlakon seawal usia tujuh tahun menerusi program Barney & Friends menambah: “Menyedari seluar potongan tirus dan mafela yang sering digayakan menjadi ikutan maka, ia mendorong saya melancarkan koleksi pakaian jenama saya sendiri, Dream Out Loud by Selena Gomez pada bulan Oktober tahun lepas.
“Koleksi ini menawarkan dres bohemian, blaus, seluar jean, skirt dan jaket. Saya sengaja menghasilkan item fesyen pelbagai supaya wanita berpeluang mempraktikan konsep suai dan padan. Jika bosan dengan hiasan aksesori gayakan busana bersama selendang atau topi yang turut dijual.”
![]() |
| DEMI sentiasa murah dengan senyuman. |
Tidak mempunyai latar belakang rekaan fesyen, sedikitpun tidak menjejaskan keyakinan Selena untuk berjaya dalam industri fesyen. Minat Selena yang pernah menjadi jurucakap kempen Trick-or-Treat Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), semakin ketara apabila mendapat kerjasama daripada pereka Tony Melillo dan Sandra Campos.
Erotik drastik Miley
Jika Selena Gomez selesa dengan penampilan yang sopan tetapi tidak bagi rakan seangkatannya, Miley Cyrus, 18. Entah di mana silapnya, Miley yang sebelum ini mempamerkan imej bersih secara drastik memilih penampilan erotik.
Pelakon siri Hannah Montana itu bagaikan sudah ‘membuang’ koleksi pakaian konsep funky dan comel. Almari peribadinya kini mungkin sudah dipenuhi dengan pakaian ketat dan seksi yang mengundang kemarahan dan kecaman daripada ramai pihak.
“Sebagai anak seni saya bersedia melakukan tranformasi muzik dan imej mengikut trend. Lagipun penampilan erotik ini bersesuaian dengan konsep album saya berjudul Can’t Be Tame.
“Inilah imej yang saya inginkan. Kombinasi rock dan feminin menampakkan kematangan diri dan masyarakat sekeliling tidak lagi melihat sebagai kanak-kanak sampai bila-bila,” tutur pelantun lagu Climb dalam satu temu ramah bersama Associated Press.
Duta antibuli
Sementara itu, Demi Lovato, 18, yang membawa watak utama dalam siri Sonny With a Chance dan Camp Rock, pula dikategorikan Superstar Disney yang gemar tersenyum dan mempunyai rambut ikal mayang menawan.
Sahabat baik kepada Selena Gomez ini gemar mempraktikan corak pemakaian yang feminin sama ada dalam dan di luar set penggambaran. Blaus dan skirt kembang paras paha bermotifkan flora dan elemen fesyen rock sering menjadi pilihannya.
Menurut Demi, sebelum menemui signatur pakaian peribadi, dia kerap memerhatikan penampilan pelakon Lindsay Lohan dan Keira Knightley.

Pencinta produk Forever 21 dan Aldo itu menyifatkan kedua-dua selebriti berkenaan mempunyai cita rasa fesyen yang menakjubkan dan tidak pernah gagal tampil menarik di depan khalayak.
“Disebabkan suka membeli-belah dan meminati elemen fesyen rock, saya dilantik menjadi duta untuk pusat beli-belah GGP, Chigago, AS, bagi program Shop Til You Rock.
“Program yang berlangsung sepanjang musim panas tahun ini mengajak remaja supaya bijak memadankan item fesyen rock bersama koleksi fesyen konsep kasual, ranggi atau funky,” luah Demi yang turut gembira dipilih menjadi jurucakap produk Clean & Clear dan kempen antibuli anjuran PACER.
Tutur anak kelahiran Dallas, Texas, AS itu: “Dalam kempen ini saya membantu meningkatkan keyakinan dalam kalangan remaja yang menjadi mangsa buli kerana saiz badan dan kecantikan wajah yang dianggap tidak sempurna.”
Duta kecantikan
Pelakon siri High School Musical, Vanessa Hudgens, 21, mengakui dia perlu berterima kasih kepada Disney Channel yang memberi ruang kepadanya mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan dan nyanyian.
“Populariti yang dikecapi sebagai pelakon dan penyanyi membuka rezeki saya dilantik menjadi duta penjagaan wajah Neutrogena.
“Saya berbesar hati menerima tawaran ini kerana ingin mengajak remaja menjaga kebersihan wajah. Rejim penjagaan wajah yang sistematik membuatkan wajah bebas kotoran, berminyak dan jerawat,” terang Vanessa yang menyatakan bergelar Superstar Disney memberi peluang untuknya melibatkan diri dalam kempen kecantikan, fesyen dan gaya hidup remaja.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: