
SEJAK menyertai syarikat jenama Chanel pada tahun 1980-an, Karl Lagerfeld begitu cerewet tentang foto-foto kempen iklan yang ditawarkan sehingga memaksa dirinya mengambil gambar sendiri.
“Koleksi gambar fesyen yang diambil orang media sudah lama wujud. Namun, kebanyakan gambar itu diambil oleh para jurugambar baru,” ujar Lagerfeld pada majlis pembukaan pameran fotografi terbesarnya di Paris.
“Sekitar tahun 1987, seorang pengarah imej Chanel pernah menunjukkan saya satu atau dua pek gambar untuk dinilai, tetapi akhirnya dia memberitahu ‘memandangkan awak terlalu cerewet, lebih baik awak buat sendiri’,” imbas pakar fesyen kelahiran Jerman itu yang kini berusia 77 tahun.
Pada mulanya, Lagerfeld memberitahu, dia mengambil gambar umpama amatur, sama seperti orang yang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit pada hari ini.
Namun, eksperimen demi eksperimen yang dilakukan banyak membantunya. Dari situ mula timbulnya minat yang mendalam dan usaha mencuba pelbagai teknik kreatif seperti warna dan tekstur. Semua hasil kerja Lagerfeld itu kini dipamerkan di Paris.
Hampir enam minggu, pameran Maison Europeenne de la Photographie mempamerkan sejumlah 400 gambar yang dirakamnya di seluruh dunia.
“Saya kerap membawa kamera kecil jenama Fuji ke mana-mana saja.
“Sebelum ini saya terlalu berkecimpung dalam dunia rekaan pakaian. Hari ini, minat baru ini membuka pandangan saya dengan lebih luas. Saya boleh melihat segala-segalanya lebih baik.
“Apa yang menarik minat saya ke bidang fotografi adalah keupayaan mendapatkan hasil fotografi yang berbeza-beza, termasuk menggunakan teknik yang jarang dilakukan pada zaman ini,” terangnya panjang lebar.
Hitam putih
Panorama kota New York dan gambar sudut abstrak landskap dan bangunan, dari Versailles Chateau hinggalah ke momen ribut salji di Rom, digantung sebelah-menyebelah bagaikan kertas dinding bercorak.
Di satu sudut lain pula, gambar fesyen dan iklan disusun bersama potret-potret hitam putih. Masing-masing menggambarkan pelbagai kisah dunia fesyen, daripada wajah David Lynch hinggalah Nicole Kidman dan Gerard Depardieu.
![]() |
| RAKAN-RAKAN industri seperti pereka Silvia Fendi (kanan) pasti mahu menyokong seni fotografi Lagerfled. |
Bagi Anne Cartier-Bresson, yang banyak melakukan kerja membaik pulih gambar lama kota Paris, foto yang diambil Lagerfield itu menyerlah dari aspek tekstur dan pigmen.
“Karl Lagerfeld bukanlah jurugambar fesyen namun dia seorang pencipta. Dia memilih material untuk fotografi sama seperti anda memilih fabrik.”
Dalam satu contoh, Lagerfeld mengembalikan teknik kurun ke-19 yang dipanggil proses resinotype. Baginya, proses tersebut amat sukar dipraktikkan.
Sementara itu, bagi hasil kerja yang lain, Lagerfeld melukis sendiri di atas pigmen menggunakan pembayang mata buatan Jepun bagi mendapatkan warna dan titik halus yang diinginkan.
“Saya suka kerja teliti di atas karya kreatif ini, milimeter demi milimeter.”
Merujuk pada potret hitam putih Jack Nicholson yang berbaju-T rona merah, dia berseloroh: “Ia kelihatan seperti diubah sedangkan pada hakikatnya gambar itu sedikitpun tidak disunting. Ketika gambar itu diambil, matahari bersinar terang, itulah warna sebenar.”
Perisian suntingan
Biarpun pada zaman ini kerja suntingan dipermudahkan dengan Photoshop dan bermacam-macam perisian lain, ia langsung tidak mempengaruhi Lagerfeld.
“Pernah suatu ketika, model Claudia Schiffer memberitahu saya tentang seorang jurugambar yang saya tidak boleh dedahkan namanya. Jelas Claudia, jurugambar berkenaan telah mencantumkan lengan dan kepala orang lain di dalam gambarnya.
“Pada masa itu lingkaran hitam bawah matanya kelihatan hodoh. Tetapi kemudian, dia gembira kerana penampilannya lebih menawan.
“Anda memulakan dengan sesuatu yang teruk tetapi lama-kelamaan ia kelihatan menawan,” kata Lagerfeld yang mengaitkan hasil yang baik dapat juga dicapai melalui teknik fotografi yang dilakukannya.
Hasil fotografi Lagerfeld itu dilihat bergerak setaraf dengan hasil kerjanya di Chanel, Fendi dan terbaru, labelnya sendiri. Raja fesyen itu berkata, fesyen dan fotografi saling melengkapi dalam satu rangsangan yang berjangkit.
Dalam industri fesyen yang suram setiap kali musim peragaan tamat, seni fotografi dilihat sebagai cara untuk mengisi ruang kosong tersebut.
“Sekarang, memandangkan saya melibatkan diri sepenuh masa dalam kerja-kerja pengiklanan dan editorial, saya banyak berbincang mengenai fesyen, fotografi dan segala-galanya.”
Lagerfeld berharap semangat dan keterujaannya itu menonjol menerusi hasil kerjanya. “Cuma saya enggan berekspresi perkara yang sama setiap masa. Ia mungkin membosankan.”

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: