PETALING JAYA: Pelakon Zul Huzaimy menganggap tidak timbul isu layak atau tidak dia dipilih menjadi penasihat program Mari Menari terbitan Astro kerana pemilihan dibuat berdasarkan kreteria yang dicari dalam program tersebut.
Kata Zul, dia dipilih berdasarkan pengalamannya dalam bidang seni persembahan, gerak geri lakonan dan penghayatan ketika berada di pentas.
"Saya juga tertanya mengapa saya terpilih, tetapi mereka memberitahu bahawa saya mempunyai kelebihan dari sudut persembahan pentas.
"Walaupun saya tidak mengajar mereka menari, tapi saya ditugaskan untuk beri nasihat dan suntik ilmu tarian kepada para peserta. Saya juga akan mengajar bagaimana cara mereka untuk berhadapan dengan audies dan membina aura tersendiri," jelasnya.
Jelas Zul, program tarian tersebut melibatkan semua aspek bukan sahaja kepada tarian semata-mata.
"Program tarian ini melibatkan semua aspek dan bukan sahaja menari malah mempersembahkan diri mereka apabila berada di atas pentas yang luas dengan penonton yang ramai," katanya yang menganggap tarian dan lakonan merupakan perkara yang mempunyai persamaan.
Dalam pada itu, jejaka kelahiran Perak ini enggan mengulas hal rumah tangganya yang dikatakan dingin. Dia mahu perkembangan kerjaya lebih diutamakan berbanding hal peribadinya.
Selain itu, Zul yang bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Haq tidak sabar menanti reaksi penonton setelah dua tahun siap penggambaran.
"Saya sudah lama tidak keluar di filem, kali terakhir ialah Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada tahun 2007. Filem-filem lain yang saya bintangi juga masih belum bergerak seperti Bravo5 dan Mek Ani.
"Saya harap ia dapat sambutan menggalakkan kerana filem ini lain dari yang lain," jelasnya ketika ditemui di sidang media Haq, di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Zul turut memberitahu layanan terhadap pelakon sepanjang penggambaran filem ini setaraf dengan Hollywood.
"Saya tidak pernah berlakon di Hollywood tapi saya pernah pergi ke sana dan lihat bagaimana proses penggambaran dilakukan.
"Layanan yang kami terima sangat istimewa, mereka memahami dan tidak terlalu mendesak pelakon untuk melakonkan setiap babak," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: