Sunday, October 24, 2010

Karya Erma Fatima Tidak Digemari Penulis Buku Natrah

KUALA LUMPUR: Penulis buku kisah Natrah, Fatini Yaacob dikatakan kurang menyukai karya pengarah Erma Fatima bagi pementasan teater Natrah tahun lalu.

Menurut Erma, Fatini tidak suka apabila Erma telah menonjolkan salib besar dalam beberapa babak pada teater tersebut dan ia dikatakan agak negatif untuk ditonton umum.

"Setiap peralatan yang saya letak bagi setiap babak mempunyai sebabnya tersendiri. jangan ambil negatif tentang hal itu. Saya mahu orang rasakan apa yang sebenarnya terjadi pada waktu itu.

"Walaupun dia (Fatini) tidak suka, saya tetap akan meletakkan salib tersebut bagi pementasan Natrah siri kedua ini.

"Kalau dia tidak suka karya ini, saya tidak kisah. Saya tak boleh nak puaskan hati semua orang.

"Sebagai pengarah, saya tidak boleh terlalu mengikut cakap orang. Mungkin betul apa yang dia cakap dan mungkin salah," katanya pada sidang akhbar teater Natrah 2 di Istana Budaya, Khamis.

Pementasan Natrah 2 yang bakal dipentaskan bermula pada 25 November hingga 5 Disember ini merupakan pementasan terakhir buat produksi terbitan Istana Budaya.

Beritahu Erma, kisah Natrah cukup dipentaskan sebanyak dua kali agar dapat mengekalkan nilai eksklusif isi kandungan teater tersebut.

Justeru itu, Erma mengumpulkan pelakon-pelakon popular seperti Aaron Aziz, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Ziela Jalil dan Datuk Rahim Razali untuk menampakkan tarikan berbeza dengan pementasan tahun lalu.

"Natrah tidak akan bagus tanpa watak-watak kecil. Jadi saya percaya penampilan pelakon-pelakon popular yang sememangnya berbakat akan menguatkan lagi pementasan pada kali ini walaupun mereka memegang watak tambahan sahaja.

"Selain saya ingin memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman di bidang teater. Saya harap watak mereka akan meninggalkan kesan pada penonton," katanya

Tambah Erma, dia akan mengolah semula perjalanan cerita Natrah dan menambahkan kisah-kisah Natrah yang belum dipaparkan pada tahun lepas.

Sementara itu, pelakon asalnya, Remy Ishak, Maya Karin, Umie Aida, Sofia Jane dan Samantha Schubert masih kekal bagi pementasan kedua ini.

Natrah, atau nama sebenarnya, Huberdina Maria Hertogh merupakan seorang gadis Belanda yang diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh yang telah ditawan oleh tentera Jepun.

Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh Amerika Syarikat dan dia pulang ke Bandung, Indonesia mencari anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: