LAWAT...Raja Nong Chik (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Johari mengenai kebakaran, semalam.
KUALA LUMPUR: “Atas rasa prihatin terhadap kemalangan menimpa mereka, saya berbesar hati memberi kelonggaran kepada mangsa kebakaran agar tidak perlu membayar sewa bulanan sepanjang tempoh baik pulih gerai,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada 12 mangsa kebakaran di Pasar Raja Bot, di sini, semalam.
Raja Nong Chik berkata, pihaknya menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyiapkan gerai berkenaan dalam tempoh dua atau tiga bulan.
“Saya sudah melawat kawasan kebakaran dan Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku dan hanya kerugian barangan dianggarkan hampir RM500,000.
“Walaupun sumbangan diberikan tidaklah seberapa, saya berharap ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Idris Mohd Isa.Kedua-duanya menghulurkan sumbangan RM500, masing-masing kepada setiap mangsa kebakaran serta melawat kawasan kebakaran.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Kawasan Chow Kit Kuala Lumpur, Choo Teng Loy berharap pihak terbabit dapat menyiapkan gerai agar peniaga dapat berniaga seperti biasa.
“Saya bersyukur dengan pengumuman menteri dan terima kasih diucapkan kerana sentiasa prihatin dengan nasib kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: