ANGGUN...26 peserta akhir Pencarian Duta Bizzy Body 2010/11.
MENURUNKAN berat badan sehingga berbelas, malah berpuluh kilogram barangkali dianggap cukup sukar apatah lagi jika ia dilakukan tanpa perlu menjalani sebarang rawatan dan diet yang memudaratkan.
Mereka berjaya membuktikan tiada yang mustahil sekiranya memiliki keazaman di samping panduan yang betul untuk merealisasikannya.
Bagi Nur Hidayati Buniamin, 28, sebab utama dia bertekad untuk mengurangkan berat badannya semata-mata menyahut cabaran seseorang yang pernah mengecewakannya.
"Saya cukup tersentuh apabila dia menyatakan tidak dapat menerima diri saya kerana saya berbadan besar. Saya memang cukup marah dan kecewa."Tapi saya bersyukur kerana kata-katanya itu, saya mampu bangkit dan membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia berbadan besar sejak kecil lagi dan ramai beranggapan genetik keluarga yang dibawanya itu akan menyukarkan proses penurunan berat badan."Sepanjang tempoh itu ramai yang mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati. Ada yang kata saya tidak dapat memilih pakaian dikehendaki kerana tiada saiz, malah kata-kata sedemikian membuatkan keyakinan diri makin kurang.
"Saya kemudian bersikap sambil lewa pada diri dan tidak menjaga penampilan sewajarnya," katanya ketika ditemui di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Kini, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam tempoh tujuh bulan selepas melakukan proses rawatan pelangsingan disediakan di Bizzy Body. Malah, dia turut mengamalkan diet seimbang seperti yang disarankan.
Gadis manis yang bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali terkemuka itu berkata, paling penting ikuti semua langkah atau saranan yang diberikan sama ada untuk proses rawatan ataupun bentuk pemakanan.
"Disiplin diri amat penting untuk menurunkan berat badan kerana tanpanya, usaha yang dilakukan hanya sia-sia.
"Tanamkan dalam hati bahawa apa yang dilakukan ini adalah untuk kesenangan diri kemudian hari dan jangan sesekali mengeluh ketika melakukannya," katanya.
Fadzilah Md Noor, 32, pula menghadapi masalah berat badan sewaktu mengandung anak-anaknya dan ia kekal pada berat 70 kilogram sebelum ini.
Ibu kepada dua anak itu berkata, selepas bersalin berat badannya hanya berjaya dikurangkan sebanyak 10 kilogram dan ia kekal tidak berganjak.
"Saya cukup susah hati dengan keadaan itu dan ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kerana merasa cukup rendah diri apabila melihat orang lain lebih langsing selepas bersalin.
"Disebabkan itu, saya berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan berat badan yang dimiliki berjaya dikurangkan," katanya.
Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai arkitek kini mampu berbangga apabila berjaya menurunkan berat badan sehingga 21 kilogram dalam masa lima bulan saja.
"Penting untuk menjaga pemakanan kerana faktor terbabit memainkan peranan penting, malah ia menjadi penyumbang masalah berat badan berlebihan.
"Saya amat bersyukur kerana dengan bantuan yang diperoleh berat badan saya berjaya dikurangkan dalam jumlah yang banyak dan ia cukup menggembirakan," katanya.
Selain itu, Angelyn Lim, 29, pula amat meminati aktiviti sukan luar, tetapi disebabkan faktor berat badan berlebihan, ia menjadi sesuatu yang sukar untuk dilakukan.
"Berat badan saya meningkat selepas melahirkan anak kira-kira dua tahun lalu dan ia menjejaskan segala aktiviti luar yang sebelum ini pernah dilakukan.
"Saya cepat berasa letih dan sukar bergerak hingga sering ketinggalan berbanding rakan lain ketika melakukan aktiviti terbabit," katanya.
Dengan bantuan pelangsingan yang diterimanya melalui pertandingan berkenaan, Angelyn berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram dalam tempoh empat bulan.
Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Rozimah Yahaya, 42, juga berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 17 kilogram dalam masa tiga bulan.
Dia yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan berkata, sokongan diberikan keluarga amat penting terutama anak-anak perempuannya dalam usahanya menurunkan berat badan.
"Paling utama kita perlu mengikuti semua diet yang disediakan dan mengamalkan pemakanan sihat selain menjalani rawatan disediakan.
"Jangan abaikan salah satu daripadanya kerana ia memang memainkan peranan dalam proses penurunan berat badan secara sihat," katanya.
Florence Choong Chiao Mei, 30, pula berkata berat badan berlebihan memberikan pandangan kurang selesa terhadap diri bukan oleh masyarakat luar, tetapi dia sendiri turut merasakannya.
"Kita akan berasa kurang yakin untuk bergaya kerana memiliki badan yang besar dan beranggapan setiap pakaian yang dikenakan akan menjadi bahan ejekan.
"Sebagai contoh, sebelum ini saya hanya memakai baju bersaiz S ataupun XS, tapi kini berubah kepada L dan ia sesuatu yang cukup menakutkan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 17 kilogram dalam masa enam bulan, ia sesuatu yang cukup membanggakan.
"Berat badan berlebihan biasanya disebabkan pengumpulan toksin dalam badan dan ia perlu dikurangkan dengan menjalani rawatan sepatutnya dan mengikut amalan diet pemakanan yang betul," katanya.
Kelima-lima wanita terbabit bakal menyertai 21 lagi peserta akhir yang terpilih dalam Pencarian Duta Bizzy Body 2010/11 yang akan diadakan pada 14 November depan di pusat beli-belah terkemuka Sunway Pyramid.
Sementara itu, menurut Ketua Kumpulan Pemasaran Wyann International, Danny Hoh, semua peserta terbabit dinilai bukan hanya melalui kadar penurunan berat badan masing-masing, tetapi turut membabitkan keyakinan diri, karisma serta penampilan diri.
Kriteria terbabit diambil kira kerana peserta yang bakal dinobatkan sebagai pemenang akan turut membawa imej Bizzy Body sebagai pusat pelangsingan dan kecantikan terkemuka.
"Kami perlu melakukan pemilihan secara terperinci dan menyeluruh untuk memilih peserta yang benar-benar layak untuk menjadi duta," katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengurus Kanan Operasi Wyann International, Olivia Tam yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Wyann International, Wang Li. Pertandingan itu turut mendapat sokongan penaja termasuk UOB, Sunway Pyramid Shopping Mall, Simone's Models, Touch Group, Xixili, A Cut Above, Le Ann Maxima, Envee Apparel, Lazo Diamond, Yeo's, I Nuovi, Female, Nu You, Harian Metro, Steven Goh, Greg's Video, EDSB dan Diamond Screen.
Juara Pencarian Duta Bizzy Body 2010/11 akan membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, tempat kedua RM50,000 dan ketiga RM30,000 serta dilantik sebagai Duta Bizzy Body baru selama setahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: