KEBANYAKAN artis yang hadir menyaksikan persembahan penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram memuji kehebatan wanita itu yang kerana berjaya mengekalkan suaranya seperti 25 tahun lalu.
Ramlah mengadakan persembahan pada malam gala ulang tahun ke-25 kerjaya seninya anjuran Ramlah Ram Group (RRG) di Hotel Impiana, Kuala Lumpur, Sabtu.
Menurut Fauziah Ahmad Daud yang bertindak selaku pengacara majlis pada majlis itu, Ramlah dianggap sebagai penyanyi yang autentik dan memang dilahirkan untuk menjadi seorang penyanyi.
“Sukar untuk mencari pengganti Ramlah Ram. Kita lihat seperti Sudirman sendiri, Ramlah Ram juga mempunyai mempunyai identiti tersendiri.
"Saya berada dalam majlis bersama ramai peminat yang menyokong Ramlah,” katanya.
Sementara itu, Misha Omar yang turut menyaksikan konsert bersama-sama 200 penonton yang lain mengakui dia membesar dengan lagu-lagu Ramlah Ram.
“Ramlah Ram ibarat lambang suara yang bernada tinggi dan jiwa yang berat. Kalau dibandingkan dengan saya yang baru sembilan tahun dalam industri ini, banyak lagi perkara yang saya pelajari untuk mengekalkan tahap 25 tahun sepertinya,” ujarnya
Dalam pada itu, penyanyi veteran, Salamiah Hassan menganggap Ramlah seorang wanita yang jujur, bekerja keras dan penyanyi yang hebat.
Ibu kepada penyanyi Atilia itu berpendapat, untuk menjadi penyanyi yang bagus seseorang itu hendaklah sentiasa menjadi diri-sendiri, berfikiran positif dan bersedia untuk menyanyikan apa sahaja lagu yang diminta.
Ramlah menghiburkan tetamu dengan 30 buah lagu seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Selamat Jalan Romeo, Membilang Butir Harapan, Zapin Yang Tinggal, Fantasia Bulan Madu, Masih Jelas, Mahakarya Cinta dan lagu terbarunya, Cinta Gila.
Persembahan pada malam itu diiringi band Ideal Sound Studio di bawah pimpinan pengarah muzik Bell Fatah.
Selain dihiburkan dengan telatah pelakon tersohor, Fauziah Ahmad Daud selaku pengacara majlis penyanyi baru Azam Pitt (My Starz LG) turut dijemput sebagai penyanyi undangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: