Sunday, October 24, 2010

Shafiq – Jadikan peragaan hobi sampingan




SEJAK lama dulu Muhammad Shafiq meminati bidang peragaan. Namun setahun dua ini barulah dia mula mendapat peluang ke arah itu.

Shafiq menyertai sebuah agensi untuk mengembangkan minatnya dan mula mendapat peluang memperaga. Bukan sahaja memperaga pakaian, malah turut terlibat dalam peragaan fesyen rambut.

Minggu depan Shafiq dijadualkan memperaga fesyen rambut hasil usaha agensi yang dinaunginya itu. Nampaknya rambut panjang yang dibela itu memberi peluang peragaan kepadanya.

“Saya ada juga terlibat memperaga pakaian serta memperaga untuk keperluan majalah,” kata Shafiq kepada Pancaindera.

Kalau kebanyakan model sampingan lain menyertai banyak agensi peragaan untuk mendapat peluang kerja yang lebih, Shafiq pula mahu fokus kepada satu agensi sahaja.

“Saya hanya menyertai QT Talent kerana mahu lebih fokus dan tidak timbul sebarang masalah. Saya lebih selesa macam ini. Alhamdulillah banyak juga peluang untuk saya,” jelasnya.

Buat masa sekarang dia menjadikan peragaan sebagai kerjaya sampingan. Syafiq ada kerja lain sebagai ejen hartanah. Bukanlah urusan hartanah besar-besaran sebaliknya berkaitan sewa dan jual beli rumah.

“Saya jadi ejen mencari pelanggan untuk menyewa rumah ataupun jual beli rumah. Selain mencari pelanggan untuk menyewa atau membeli, saya juga berurusan mencari pemilik yang mahu menyewa atau menjual rumah mereka.

“Saya juga kena rajin melayari internet untuk mencari rumah yang mahu disewa atau mencari pelanggan.

“Kalau tak ada kerja, saya akan menghadap komputer untuk mencari mana-mana yang bakal menjadi pelanggan kami,” jelas Shafiq.

Apa yang dilakukannya nampaknya sangat selari dengan hobinya yang sangat suka melayari internet. Bukan sahaja bersosial di laman sosial, sebaliknya digunakan untuk tujuan pekerjaan.

“Kalau kita bijak menggunakan internet tak akan timbul masalah berkaitan teknologi ini,” sambungnya yang tinggal bujang di Kuala Lumpur.

Namun Shafiq akui dia juga kerap bersosial di laman sosial facebook. Itulah aktiviti yang dilakukan kalau ada masa luang.

Shafiq dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Manjung, Perak kerana mengikut bapa yang bekerja di sana.

Keluarganya masih tinggal di sana.

Shafiq mahu mendapat pendedahan yang lebih untuk memperkenalkan dirinya kepada dunia hiburan. Itulah salah satu tujuan menyertai Pencarian Kacak Bergaya 2011.

Dia berharap selepas ini akan mendapat lebih pendedahan dan semakin banyak peluang memperaga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: