Sunday, October 24, 2010

Paramore penuh energi


KONSERT yang hangat berlangsung dalam suasana penuh tenteram.


KUNJUNGAN sulung vokalis Hayley Williams, Josh Farro (gitar utama), Jeremy Davis (bass), Zac Farro (drum) dan Taylor York (gitar) pada 19 Oktober lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil saling melengkapkan sebuah kumpulan yang megah berdiri di bawah satu nama, Paramore.

Menjayakan konsert Paramore Live in Kuala Lumpur 2010, kumpulan yang berasal dari Franklin, Tennessee, Amerika Syarikat ini ternyata mengotakan janji untuk menghiburkan peminat-peminat mereka di Malaysia selepas Singapura tahun lepas.

Sarat dengan kehadiran kira-kira 10,000 penonton yang mengisi perut stadium tersebut, Hayley yang berada di barisan hadapan kumpulan membuka tirai persembahan dengan lagu berbisa mereka, Ignorance.

Dingin malam bertukar hangat apabila Hayley kemudiannya memukau penonton dengan aksi lincahnya ketika menyampaikan lagu Feeling Sorry dan That's What You Get.

Dia yang tampil sederhana dan selesa menyarung T-Shirt, celana ketat, skirt beserta kasut but panjang bagai tidak surut energi di pentas apabila gadis yang sinonim dengan rambut merah terangnya itu meneruskan persembahan dengan lagu For a Pessimist.

Ternyata pengalaman selama enam tahun berada dalam industri hiburan antarabangsa digunakan sebaik mungkin oleh Hayley yang mewakili anggota kumpulan lain.

Sebelum meneruskan segmen kedua, Hayley sempat melaungkan pertanyaan 'Apa Khabar Kuala Lumpur?' sambil mikrofon dihalakan kepada ribuan peminatnya yang menyahut dalam paduan satu suara.

Intonasi ucapan terima kasih juga tidak nampak terlalu 'Mat Saleh' semasa Hayley melayangkannya semula kepada peminat dan ini jelas dia berusaha untuk mencuri hati rakyat Malaysia melalui penggunaan bahasa tempatan.

Penonton juga bagaikan diseret ke 'alam Twilight' sebentar semasa Hayley menyampaikan lagu Decode yang merupakan lagu sound track filem francais popular lakonan Robert Pattinson dan Kristen Stewart itu.

Pentas yang sarat disimbah cahaya lampu tiba-tiba bertukar gelap usai lagu Decode disampaikan sekali gus menimbulkan kegelisahan di kalangan peminat yang rata-ratanya masih belum berpuas hati.

Pun begitu, sorakan penonton kembali bersatu dalam gema apabila Hayley muncul bersama anggota-anggota lain dalam suasana santai bertemankan puluhan lampu mentol yang digantung cukup simbolik di atas pentas.

Duduk di atas sebuah kerusi sofa putih yang dijadikan props, Hayley tenang menyajikan lagu You Ain't Woman, When It Rains, Where The Lines dan Misguided Ghosts diiringi petikan gitar akustik daripada Josh Farro dan Taylor York.

Bagaimanapun, berlaku sedikit gangguan teknikal semasa Misguided Ghosts disampaikan.

Mikrofon Hayley secara tiba-tiba gagal berfungsi menyebabkan gadis berusia 22 tahun itu bingkas beredar ke belakang pentas bersama anggota lain.

Disangka sebagai sebahagian daripada gimik persembahan, penonton yang tidak berganjak bagaimanapun terus menyanyikan lagu tersebut dalam kekeliruan.

Beberapa minit kemudian, barulah mereka sedar bahawa ia bukan disengajakan. Muncul semula diselangi tepukan gemuruh penonton yang bagai 'dirasuk' emosi punk pop Paramore, Hayley meneruskan aksi ligatnya di pentas dengan lagu Crush, Crush, Crush, Pressure dan Looking Up selepas menukar mikrofon.

Sementara itu, bagai tidak sah jika lagu Only Exception tidak didendangkan apatah lagi lagu itu cukup berhantu dan membuai jiwa.

Malah, Hayley sempat meminta isi stadium untuk bersama-sama menyanyi sambil menyalakan telefon atau pemetik api bagi menaikkan mood lagu popular itu. Secara total, klasifikasi konsert Paramore di Malaysia tidak mengecewakan.

Mereka membuktikan bahawa kunjungan ini bukanlah untuk bikin kontroversi tetapi lebih terarah kepada perkongsian muzik bersama pemuja setia Paramore.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: