MENANGANI masalah lemah kawalan kencing tidaklah serumit yang disangka oleh kebanyakan wanita. Wanita mempunyai pilihan sama ada memahami masalah tersebut lebih mendalam, belajar cara mengawalnya atau berdepan dengan tekanan emosi.
Prihatin dengan masalah lemah kawalan kencing, seramai 150 peserta wanita menemui jalan penyelesaiannya apabila menyertai aktiviti Kegel bersama Poise yang diadakan baru-baru ini sempena sambutan Minggu Kontinen Sedunia 2010 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Acara kesihatan awam yang dianjurkan oleh Poise dengan kerjasama Pfizer dan Pusat Perubatan Prince Court itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengajar cara terbaik menangani masalah lemah kawalan kencing. Pada masa yang sama menggalakkan perbincangan terbuka di kalangan wanita Malaysia.
Acara Kegel bersama Poise merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mendidik wanita mengenai lemah kawalan kencing.
“Ini merupakan kali pertama acara besar-besaran dianjurkan untuk menyambut Minggu Kontinen Sedunia di Malaysia.
“Kami akan terus berjuang memperkasakan wanita yang menghadapi masalah ini,” kata Pengarah Urusan Kimberly-Clark (Malaysia/Singapura) untuk Poise, Nathan Kandapper.
Kualiti hidup
Pada acara kesihatan tersebut, Presiden Yayasan Kontinens Malaysia dan juga Perunding Urologi, Dr. Peter Ng menjelaskan mengenai punca pundi kencing yang terlalu aktif dan kesannya terhadap kualiti hidup.
“Meskipun ia bukan masalah kesihatan yang boleh membawa maut tetapi ia boleh menjejaskan keadaan fizikal, psikologi dan sosial seseorang wanita. Ia menimbulkan rasa marah, malu dan murung.
|
|
“Kesannya, hubungan sosial, kehidupan seksual dan kesihatan emosi juga terjejas,” jelasnya.
Peter Ng juga menekankan kepada peserta cara-cara menangani masalah tersebut dengan ubat-ubatan. Antaranya ialah antikolinergik yang menstabilkan otot pundi kencing yang mengakibatkan pembuangan air kecil yang kerap dan mengejut.
“Pfizer telah lama terlibat dalam bidang urologi terutama berkenaan masalah pundi kencing terlalu aktif (OAB) dan sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk menyumbang program kemasyarakatan.
“Langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih sihat ialah kesedaran, sehubungan itu pemeriksaan kesihatan awal untuk OAB amat penting,” kata Pengarah Pemasaran Pfizer Malaysia, Simon Kok.
Sementara itu, Pakar Sakit Puan dari Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Seri Suniza Sufian menasihatkan wanita yang mengalami masalah tersebut supaya mendapatkan bantuan profesional dan sokongan daripada orang yang tersayang.
“Berbincang tentang masalah sememangnya sukar dan amat memalukan tetapi ia memberi banyak manfaat. Sekurang-kurangnya masalah dapat dikesan dengan tepat dan simptomnya boleh dikenal pasti. Pada masa yang sama, wanita terbabit boleh mendapat sokongan emosi dan bantuan,” katanya yang menyampaikan ceramah mengenai inkontinens tekanan.
Gaya hidup
Menurutnya, inkontinens tekanan merupakan sejenis masalah lemah kawalan kencing yang dialami oleh golongan wanita sewaktu mereka ketawa, bersin, batuk atau bersenam.
“Mereka yang menghadapi masalah ini perlu mengubah gaya hidup dengan melakukan senaman pemulihan otot pelvik seperti Kegel dan senaman pengawalan pundi kencing, menjaga diet serta menggunakan pelapik berkesan untuk kekal kering dan selesa sepanjang hari.”
Selain ceramah, para peserta juga berpeluang melihat pameran dan melakukan senaman Kegel secara beramai-ramai yang diketuai oleh ahli fisioterapi dari Pusat Perubatan Prince Court, Neng Shahidah Sabullah.
Tidak pulang dengan tangan kosong, para peserta dihadiahkan dengan tikar senaman Poise, pita senaman dan cakera padat Poise Pilates secara percuma supaya mereka dapat mempraktikkan senaman lantai pelvik di rumah.
Acara lain yang diadakan pada pameran tersebut ialah pemeriksaan kesihatan pundi kencing secara percuma oleh pasukan Pfizer Malaysia dan aktiviti berpendidikan yang dianjurkan oleh Poise dan Pusat Perubatan Prince Court.
Mereka yang tidak berpeluang menyertai pameran boleh mengetahui lebih lanjut tentang masalah lemah kawalan kencing di www.poise.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: