Friday, October 1, 2010

Harapan pesakit buah pinggang




KETIKA berkhidmat di MAA-MEDIcare Kidney Charity Fund, Sharifah Shaliza Syed Manshor, 31, berkata, usaha beliau hanya tertumpu kepada mencari dan mengumpul dana untuk pesakit buah pinggang yang memerlukan bantuan menjalani rawatan.

Kepada wanita yang berkulit cerah itu, jiwanya sudah sebati dengan kerja-kerja amal. Bahkan dia mahu melakukan sesuatu yang dekat dengan dirinya dan bermakna dalam hidupnya.

Bertitik tolak dari situ, anak kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Datuk Syed Manshor Syed Mahmood itu membuka pusat dialisisnya sendiri. Pusat dialisis yang dikenali sebagai Pusat Dialisis Tulips itu terletak di Kota Damansara.

“Ketika bertugas di MAA, saya langsung tidak tahu bagaimana keadaan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kerana hanya tahu mencari dana.

“Selepas melihat sendiri keadaan mereka, timbul rasa simpati dan sebak melihat keadaan pesakit-pesakit ini,” kata Sharifah Shaliza yang mendapat ilham daripada bapanya untuk membuka pusat dialisis itu.

Menurut graduan Komunikasi Massa, Universiti Royal Melbourne Institute of Technology itu, proses menguruskan pembukaan pusat dialisis tersebut bermula pada Julai tahun lalu. Setelah mematuhi segala prosedur, Pusat Dialisis Tulips mendapat lesen penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Pusat tersebut mula beroperasi pada 25 Januari lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu menganggap pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang sama seperti mereka yang menghidap kanser kerana kualiti hidup mereka terjejas.

“Melihat pesakit menjalani rawatan, baru kita tahu keperitan yang mereka lalui.

“Rawatan hemodialisis membolehkan pesakit menikmati hidup dengan lebih baik sementara menunggu buah pinggang baru daripada penderma, bukan menjalani rawatan sementara menunggu ajal tiba,” ujar Pengurus di Pusat Dialisis Tulips itu.

Nama Tulips dipilih kerana ia melambangkan kehidupan dan harapan.


PERALATAN hemodialisis yang digunakan di Pusat Dialisis Tulips.


Berhadapan dengan pesakit buah pinggang saban hari menyebabkan Sharifah Shaliza terpanggil untuk mendaftarkan diri sebagai penderma organ.

Meskipun tanpa latar belakang dalam bidang perubatan, kekurangan itu tidak menghalang Sharifah Shaliza menimba pengetahuan berhubung penyakit tersebut.

Mengurus pesakit

“Kita perlu ambil tahu cara-cara menguruskan pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis. Sejak pusat ini dibuka saya temui pesakit daripada pelbagai masalah, ada yang mengalami masalah buah pinggang kronik sehingga mulut berbau hancing dan ada antara mereka yang mengalami kemurungan.

“Jika kita tengok pesakit-pesakit ini menjalani rawatan, mereka akan tunduk, mungkin malu dengan keadaan mereka. Setiap kali melihat mereka, saya rasa sebak kerana amat memahami apa mereka lalui,” katanya yang dibantu oleh lima orang kakitangan terdiri daripada dua ketua jururawat, dua pembantu jururawat dan seorang lagi membantu kerja-kerja pengurusan tuntutan panel.

Apa bezanya Pusat Dialisis Tulips berbanding pusat-pusat dialisis yang lain?

Sharifah memberitahu, Pusat Dialisis Tulips dengan keluasan 41, 580 meter persegi itu menyediakan ruang yang luas untuk keselesaan pesakit.

“Keselesaan pesakit keutamaan kami. Pusat ini boleh memuatkan enam orang pesakit pada satu-satu masa. Pesakit menjalani rawatan yang mengambil masa empat jam boleh melayari Internet kerana kami menyediakan kemudahan komputer riba berserta Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) percuma selain ruang parkir yang mencukupi.


SHARIFAH SHALIZA (kiri) amat memahami keperitan yang dialami oleh Raman.


“Kami juga menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar pesakit di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Damansara Utama, Bandar Utama, Sungai Buloh dan Kampung Melayu Subang,” jelas bekas Eksekutif Komunikasi Korporat dan Pegawai Kanan Komunikasi di MAA-MEDIcare Kidney Charity Fund, Industri Pembangunan Kewangan Malaysia (MIDF), AmanahRaya dan RHB Bank itu.

Kemudahan yang selesa membuatkan pesakit berasa seolah-olah mereka menjalani rawatan di rumah sendiri.

Dalam pada itu, pakar nefrologi daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Wong Chew Ming akan memantau keadaan pesakit dua kali sebulan.

Bagaimanakah Syarifah mendapat dana untuk merealisasikan kelahiran Pusat Dialisis Tulips? Selain bantuan kewangan daripada ibu bapanya, Sharifah membuat pinjaman yang mencecah RM1 juta bagi mewujudkan pusat dialisis tersebut.

Caj rawatan

Pusat dialisis Tulips dibuka setiap hari kecuali hari Ahad. Pusat itu juga mengenakan caj bergantung kepada latar belakang pesakit.

Jika ada pesakit yang perlu membayar sendiri, bayaran sebanyak RM180 dikenakan untuk sekali rawatan. Bergantung kepada keadaan dan latar belakang pesakit, Sharifah Shaliza mungkin menimbangkan untuk memberi potongan harga.

Sementara itu, seorang pesakit, Raman Kutty, 63, menjalani rawatan hemodialisis sejak Disember tahun lalu.

“Sebelum ini saya menjalankan rawatan di tempat lain dan mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis Tulips sejak Mac lalu. Pusat ini lebih selesa, saya seolah-olah berada di sebuah spa.

“Pusat ini juga menyediakan kemudahan WiFi,” katanya yang memandu sendiri ke pusat dialisis tersebut.

Fazraf Talib, 42, yang menjalani rawatan di pusat itu sejak April lalu menyifatkan suasana di pusat itu seperti di rumah sendiri kerana keselesaannya.

“Ia sangat berbeza dengan pusat dialisis di tempat-tempat lain yang ruangnya agak kecil dan padat sehingga membuatkan pesakit yang menjalani rawatan rasa kurang selesa.

“Pusat dialisis ini menawarkan perkhidmatan pengangkutan mengambil dan menghantar saya ke rumah,” ujarnya yang tinggal di Damansara Utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: