Monday, October 18, 2010

Salima sedih gambar peribadi tersebar



Sudah lama tidak melihat kelibatnya di kaca TV mahu pun di dada-dada akhbar. Hakikatnya, dia masih bernafas di dalam industri seni ini. Salima atau nama sebenarnya Nor Salima Habibi,22, masih belum mengundur diri daripada dunia nyanyian.

Biarpun sibuk sebagai speaker di AC Konsortium, syarikat milik pelakon terkenal, AC Mizal kira-kira tujuh bulan lalu, Salima mengurangkan aktiviti seninya kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjaya barunya itu.

Pun begitu, masih wujud cerita kurang enak mengenai dirinya. Ia mengaitkan gambar Salima bersama teman lelakinya, Afif yang tersebar di Internet.

“Sebenarnya gambar yang menjadi cerita pihak tak bertanggungjawab itu adalah gambar lama saya dan Afif.

“Ia diambil kira-kira dua tahun lalu ketika mula mengenali Afif. Saya benar-benar tak sangka, cerita lama boleh timbul semula. Paling sedih apabila ada yang memberi kata-kata kurang senang terhadap kami," katanya.

Menurutnya, tujuan gambar tersebut dipaparkan di laman sosial sekadar untuk berkongsi dengan peminatnya.

“Saya akui memang silap saya meletakkan gambar-gambar kami kerana ia boleh memberi impak kepada hubungan kami serta peminat yang mungkin memandang serong terhadap hubungan kami.

“Bukanlah niat saya untuk menghebahkan kisah percintaan kami. Tapi, malangnya ada juga yang salah anggap dengan niat saya.

“Saya tak marah cuma sedikit terkilan sahaja kerana ada pihak yang menuduh saya yang bukan-bukan. Sejak itu, saya tidak lagi meletakkan sebarang gambar kami.

“Sudah dua tahun berlalu, tiada lagi gambar-gambar saya bersama Afif. Saya juga tidak bercerita mengenai kisah cinta saya. Tapi, tetap juga ada yang kurang senang dengan saya.

“Saya anggap mereka sengaja mencari cerita. Apa yang boleh saya buat hanyalah berdiam diri dan mengambil langkah tidak melayan cerita-cerita sebegitu. Tambahan pula saya sudah ada kehidupan saya sendiri dan saya bahagia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, baru-baru ini.

Ditanya mengenai rancangan perkahwinan, Salima berkata, dia tidak akan menunggu lama untuk berkahwin memandangkan dirinya dan Ariff sudah mempunyai kerjaya tetap.

“Jika ada jodoh dan sampai seru, mungkin tahun depan kami akan berkahwin. Kami pun dah kenal lebih dua tahun dan keluarga pun sudah merestui hubungan kami. Kami tak ada halangan Cuma buat masa ini, saya mahu tambah lagi pendapatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: