Monday, October 18, 2010

Kisah cinta tipikal



Bagi penonton yang menggemari filem cinta, Cuti-Cuti Cinta boleh menjadi tatapan di waktu senggang.

Filem yang bakal ditayangkan pada 21 Oktober ini, memaparkan kisah gadis sombong, Eeva Elyana (Nora Danish), yang dikecewakan oleh tunangnya, Remy (Zed Zaidi).

Dia yang tertekan dengan keadaan itu, akhirnya membawa diri ke sebuah pusat peranginan di pantai Morib.

Namun, sikapnya yang cerewet membuatkan semua pekerja di hotel itu tidak menyenanginya, melainkan Omar Rudy (Farid Kamil), yang tidak pula jemu melayaninya walaupun terpaksa mengikut segala telunjuknya.

Sehinggalah suatu hari Eeva dan Omar Rudy terperangkap di sebuah pulau. Maka, di situlah bermulanya kisah cerita cinta penuh romantis antara mereka.

Melihat pada jalan cerita filem itu, ia tidak ubah seperti filem 9 September lakonan Pierre Andre dan Fasha Sandha. Ironinya, kisah cinta antara dua darjat, yang terdampar di pulau, adalah terlalu klise untuk tatapan umum.

Malah, jika kita imbau kembali, filem Bollywood, Kaho Naa Pyar Hai, lakonan Hitrik Rosyam dan Amisha Patel yang pernah ‘meletup’ tidak lama dulu juga mempunyai naratif cerita yang sama.

Bagaimanapun, bagi pengarah filem ini, Ahmad Idham, Cuti-Cuti Cinta tetap ada kelainannya. Dengan gandingan Farid Kamil dan Nora Danish sebagai peneraju utama, Idham percaya filem itu mampu menarik penonton ke pawagam.

”Walaupun filem ini mengisahkan tentang cinta, namun ia tetap memberikan cabaran pada saya. Biasanya, dalam filem-filem cinta sebelum ini, banyak menggunakan ayat-ayat cinta seperti ‘Aku cinta padamu’, tapi istimewanya filem arahan saya kali ini, tidak menggunakan ayat-ayat cinta.

“Dan itulah yang sukar kerana saya harus terjemahkan perasaan itu menerusi persembahan dan suasana filem itu tanpa mengungkap sepatah pun kalimah cinta,” kata Idham yang turut berpuas hati dengan lakonan Farid dan Nora.

Selain lakonan mantap Farid Kamil dan Nora Danish, Cuti-Cuti Cinta juga turut dibintangi kumpulan The Fabolous Cat, Zed Zaidi, (Remy), Zaibo (Tan Sri Zaini), Azizah Mahzan (Puan Sri Salmah), Kaza (Pak Adam) dan Delimawati (Mak Yah).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: