Sunday, October 24, 2010

Rosyam pandu kereta Tunku




DIA hero Tanah Melayu, itu jolokan yang pernah dan masih sinonim dengan lelaki bergelar Rosyam Nor. Melihat deretan judul serta anugerah yang mengangkat pesona namanya, pencapaian yang datang kepada Mohd. Noor Shamsuddin itu tidak datang bersama armada dari samudera.

Ketika berlabuh ke daerah drama dan filem tanah air awal tahun 80-an dulu, dialah si pendayung sampan kolek, layarnya angin berbenangkan embun. Hari ini, setelah hampir 30 tahun bergelar anak seni, kakinya berpijak atas jenama sendiri, bukan lagi di tangga pelakon biasa.

Profil Rosyam sarat variasi lapangan, bermula sebagai budak pejabat yang mencuci tandas dan membancuh minuman untuk team produksi, pemuda dari daerah setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu merangkak sebagai kru filem, pelakon tambahan, pengurus produksi, pelakon pembantu seterusnya hero filem dan drama sehinggalah kepada produser manakala kini bersatus ahli perniagaan berjaya.

Bukan Suhan Movies and Trading Sdn. Bhd. sahaja, di telunjuknya terletak kuasa keputusan untuk anak-anak syarikatnya bergerak ke hadapan.

Satu keunikan Rosyam yang tiada pada artis lain ialah dia selebriti tanpa wajah keluarga. Isterinya, Runika Mohd. Yusuf serta anak-anak Arniesha Azureen, Nur Anis, Nurlisa, Syadira dan Zarith Maryam tidak pernah dipaparkan sebagai bahan publisiti di dada media.

Dalam usia 43 tahun, nilai komersialnya belum pudar. Sedang hangat berputar kisah Isabella di kaca Astro Prima, filem terkininya Estet, buah tangan Mamat Khalid bakal mengambil tempat di pawagam November nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: