Sunday, October 24, 2010

2 Alam pintu masuk Suhaillah


SUHAILLAH tidak akan melenting dan putus asa terhadap kritikan yang diterimanya.


NAMA Suhaillah Salam barangkali belum pernah meniti di bibir peminat-peminat filem tempatan. Namun, wanita yang berasal dari Singapura ini bukanlah pendatang baru dalam industri hiburan kerana dia sudah bertapak sejak 1999 lagi sebagai pengacara sebuah program televisyen di Singapura.

Dengan susuk tubuh menawan dan tidak lokek dengan senyuman, Suhaillah membuat kemunculan sulungnya di arena perfileman Malaysia menerusi filem yang kini menjadi topik hangat, 2 Alam.

Filem yang dikatakan bakal mengutip jualan tiket RM40 juta itu menjadi landasan Suhaillah bagi mengembangkan bakat lakonannya.

"Saya berharap penonton di Malaysia boleh menerima saya dan menyambut baik percubaan pertama saya dalam filem 2 Alam," ujar Suhaillah yang juga merupakan teman rapat kepada teraju utama 2 Alam, Aaron Aziz.

Pernah bergandingan bersama Aaron Aziz menerusi drama bersiri Cinta Bollywood yang disiarkan sebuah stesen televisyen Singapura, Suhaillah mengharapkan lakonannya sebagai Amy dalam 2 Alam mendapat reaksi positif.

"Andai kata akan ada kritikan negatif, saya tidak akan melenting dan putus asa kerana setiap orang mempunyai pendapat tersendiri.

"Sebaik-baiknya saya jadikan kritikan itu sebagai pemangkin untuk saya lebih maju," jelasnya yang tidak berasa kekok untuk membawakan watak seorang transeksual dalam filem tersebut.

Disapa tentang adegan panas dalam 2 Alam, bekas pengacara MTV Boom Singapura itu hanya tergelak kecil dan tenang merungkai kontroversi tersebut.

Tidak khuatir dengan sindiran sinis penonton, Suhaillah menganggap adegan tersebut tidaklah 'semesra' seperti yang ditayangkan.

Ibu kepada dua anak ini juga menjelaskan, kebanyakan aksi panas itu menggunakan camera trick dan hasilnya kelihatan seperti ia benar-benar berlaku.

Tampil dengan imej yang agak seksi, Suhaillah jelas bahawa terdapat perbezaan antara penonton di Malaysia dan Singapura.

Menyedari akan kontra tersebut, dia sedaya upaya cuba menyelami dan memahami corak penerimaan penonton Malaysia agar tidak kelihatan keterlaluan.

Aktres berusia 33 tahun ini meletakkan harapan agar 2 Alam dapat memberikan kesan yang mendalam kepada penonton supaya menilai kembali kekhilafan diri.

Suhaillah juga dikatakan bakal muncul dalam sebuah lagi filem tempatan berjudul Abuya yang dijangka ditayangkan tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: