Wednesday, October 13, 2010

Puluhan ribu mogok di Perancis


SEJUMLAH penumpang terkandas ekoran ketiadaan tren akibat mogok pekerja di Stesen Saint Lazare, Paris semalam.


PARIS - Sejumlah pelajar Perancis menyertai pekerja dalam mogok yang diadakan semalam bagi membantah peningkatan umur persaraan daripada 60 kepada 62 tahun.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan 500,000 penunjuk perasaan berarak di pekan dan bandar di negara itu pada waktu tengah hari.

Operasi 12 loji penapis minyak di Perancis terjejas dan 56 kapal tangki terkandas di luar perairan Pelabuhan Marseille kerana pekerja-pekerja pelabuhan dan minyak menyertai mogok itu.

Para penumpang terpaksa menunda perjalanan ekoran separuh daripada penerbangan ke dan dari lapangan terbang di Paris terjejas akibat mogok tersebut.

Mogok itu turut menyebabkan penutupan Menara Eiffel yang merupakan antara destinasi pelancongan yang utama.

Perdana Menteri, Francois Fillon mempertahankan rancangan untuk melanjutkan had umur persaraan semasa satu sesi Parlimen.

"Kami berazam untuk melakukan perubahan ini (had umur persaraan)," katanya.

Had umur persaraan itu dilanjutkan sebagai usaha pentadbiran Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy untuk menyelamatkan AS$90 bilion (RM279.85 bilion) menjelang 2030.

Namun, ahli-ahli politik pembangkang dan kesatuan sekerja menyatakan peningkatan had umur persaraan itu membebankan pekerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: