Friday, October 1, 2010

Provokasi kotor Bendera




“KAMI mohon maaf dan tidak akan mengulangi hal yang tercela ini. Apabila hal ini terulang kembali kami daripada kelompok Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bersedia bertanggungjawab dan dihukum berdasarkan undang-undang yang diputuskan di Indonesia.”

Demikian luahan bertulis Adrian Napitupulu dari Jakarta, Indonesia menerusi laman web www.topix.com September lalu. Pemuda Indonesia itu melahirkan kekesalan gara-gara tindakan agresif Bendera menggugat hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.

Ketidakpuasan hati rakyat Indonesia terhadap Malaysia dikatakan berpunca daripada isu lagu Terang Bulan dan tarian Pendet.

Api kemarahan rakyat di Tanah Seberang itu dilihat semakin menjadi-jadi selepas beberapa akhbar nasional Indonesia menyiarkan berita dengan melemparkan tuduhan bahawa Malaysia mendakwa tarian Pendet milik negara ini. Sedangkan, isu berkenaan langsung tiada kena-mengena dengan kerajaan Malaysia.

Hari demi hari, provokasi daripada pihak tertentu dan percaturan kotor pihak media di Indonesia membangkitkan rasa marah dan tidak puas hati di kalangan rakyat Indonesia. Hingga ke satu tahap, mereka berani mengusir orang Malaysia dengan menggunakan buluh-buluh runcing.

Bagaimanapun, laman web detik.com pernah melaporkan operasi ancaman buluh runcing di jalanan itu bertahan selama setengah jam saja, memandangkan tiada seorang pun rakyat Malaysia berada di jalan itu.

Namun kekesalan kumpulan Bendera hanya bersifat sementara. Kini mereka mengulangi perkara yang sama. Demonstrasi dalam keadaan tegang berlangsung tanpa henti di persekitaran Tugu Monas dan Lapangan Monas di Jakarta Pusat.

Bendera merupakan kumpulan yang lantang bersuara dan berada di barisan hadapan tatkala memperjuangkan hak rakyat dan negara mereka, Indonesia terutamanya yang mempunyai hubung kait dengan Malaysia.

Terbaru, mereka meradang kerana membantah penangkapan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada pertengahan Ogos lalu.

Propaganda media Indonesia mengenai seorang pembantu rumah yang mendakwa dirogol dan diseksa dengan seterika panas oleh majikannya di Pulau Pinang turut membakar dendam Bendera.

Melontar najis

Ekoran insiden itu, kumpulan Bendera bertindak melontar najis ke Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.

Segelintir ahli Bendera pula mengugut melancarkan Sweeping Malaysian iaitu protes mengusir rakyat Malaysia dengan mengadakan sekatan jalan raya di hadapan ibu pejabat Bendera di Jalan Deponegoro, Jakarta Pusat.

Kumpulan itu semakin hilang pertimbangan apabila membakar dan memijak-mijak bendera Malaysia. Ketika Malaysia meraikan sambutan Kemerdekaan yang ke-53, sekumpulan penunjuk perasaan Bendera mengumpul cap jari darah pada sehelai kemeja-T sebagai hadiah kemerdekaan Malaysia.


KEMARAHAN kumpulan Bendera terhadap Malaysia tercetus gara-gara beberapa isu yang melibatkan kebajikan rakyat Indonesia.


Menurut Koordinator Bendera Mustar Bona Ventura Manurung, 35, mereka mencadangkan agar kerajaan Indonesia memikirkan kaedah untuk membawa pulang hampir dua juta rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia. Ia bertujuan mempertahankan kehormatan dan kedaulatan Indonesia.

“Sebaik sahaja semua Tenaga Kerja Indonesia (TKI) pulang, maka hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia harus segera diputuskan. Lagipun kerajaan Malaysia enggan memohon maaf kepada rakyat Indonesia berhubung beberapa insiden yang berlaku.

“Kemarahan kami sukar dibendung lagi. Bendera akan bertindak lebih agresif,” ujar Mustar, bekas penuntut di Sekolah Menengah Pertama Kristen (SMPK), Bogor, Indonesia.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fatimah Daud mencabar pemerintah Indonesia membawa pulang semua rakyatnya di negara ini.

Hidup miskin

Pemerintah Indonesia diminta membuka peluang pekerjaan di sana dan tawarkan bayaran sama seperti yang majikan Malaysia berikan. Persoalannya adakah mereka mampu melaksanakannya?

Fatimah yang menjalankan kajian tentang pembantu rumah enam tahun lalu mendapati hampir 90 peratus responden Indonesia mencari rezeki di Malaysia kerana tidak tahan hidup dalam kemiskinan di negara sendiri.

“Demonstrasi kumpulan Bendera tidak relevan dan ia mengugat periuk nasi rakyat Indonesia yang mencari makan di Malaysia bagi menampung kehidupan keluarga di negara mereka,” keluh Fatimah.

Tambah Fatimah, ketika Bendera sibuk memperjuangkan nasib TKI, sedangkan tanpa mereka sedari hampir 1.9 juta rakyatnya di negara ini lebih banyak mendatangkan kesan buruk.

Sejak TKI membanjiri Malaysia, warga tempatan tidak tenang menjalani kehidupan harian. Setiap hari ada saja paparan negatif seperti merompak, membunuh dan merogol yang melibatkan rakyat Indonesia.

“Kita sudah jelak dengan kerenah rakyat Indonesia yang buat perangai di sini. Isu pembantu rumah membuat onar sentiasa berlaku. Saya sendiri mengalami masalah kerenah pembantu rumah.

“Selama tiga tahun berkhidmat, pembantu rumah saya kerap mencuri barang kemas, pakaian, kosmetik, produk mandian dan perkakasan dapur. Segala-galanya terbongkar apabila saya menggeledah biliknya. Selain itu, dia juga menyorok barang yang curi di dalam tong sampah dan seluar dalam yang berzip,” tegas Fatimah.

Kerenah pembantu rumah

Sementara itu, Tengku Nor Fawizah Tengku Nujumuddin, 60, yang pernah menggunakan khidmat enam orang pembantu rumah sebelum ini telah mengalami kerugian melebihi RM40,000.

Kos pengurusan dan gaji yang dibayar tidak setimpal. Rata-rata bekas pembantu rumahnya tidak mendengar kata, malas dan bekerja sambil lewa.

“Sebagai pembantu rumah mereka seharusnya melakukan tugasan rumah, bukanya bersantai dan tidur saja. Ada juga yang memberontak dengan berguling-guling di lantai apabila ditegur,” terang Tengku Nor Fawizah ketika dihubungi Kosmo!

Bagi pembantu rumah, Dahlia Mahmud, 22, dia enggan pulang dan bekerja di Indonesia. Kata anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu, dia cukup selesa dan seronok bekerja di Malaysia dan mempunyai majikan yang baik.


KUMPULAN bendera seharusnya memikirkan cara untuk memberi kehidupan baik kepada rakyat Indonesia bukan sekadar mencetuskan provokasi yang menggugat hubungan
dengan negara lain.


Sepanjang empat tahun di Malaysia, Dahlia bersyukur kerana dapat mengubah taraf hidup keluarganya di Medan, Indonesia.

“Dulu rumah saya hanya berdindingkan papan dan mempunyai sebuah bilik saja. Saya bersyukur kerana dapat membantu keluarga membina rumah batu yang mempunyai tiga bilik.

“Setiap bulan saya kirim RM400 kepada keluarga untuk belanja harian,” tutur Dahlia yang meringankan beban bapanya sebagai pengayuh beca.

Selain dilema pembantu rumah, masyarakat tempatan juga gusar dengan romeo Lombok yang membawa lari anak-anak gadis ke sana.

Lelaki-lelaki Indonesia dari wilayah Lombok di Mataram itu langsung tidak memikirkan kebimbangan keluarga gadis-gadis berkenaan. Itu tidak termasuk kos yang terpaksa dikeluarkan badan bukan kerajaan (NGO) atau kerajaan untuk membawa pulang wanita Malaysia yang menderita di Lombok.

Misalnya, kes yang berlaku terhadap Noor Fadilah Ahmad, 18. Dia melahirkan kekesalan kerana lari ke Lombok tanpa restu ibu bapa semata-mata terpengaruh dengan pujuk rayu teman lelaki, Nasrudin Dahrom, 24.

“Kehidupan di Lombok jauh berbeza dengan di Malaysia termasuk terpaksa memasak menggunakan kayu api, apa pun itu semua menjadi pengajaran dan memberi pengalaman baru kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas pulang ke Malaysia dua tahun lalu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Unit Kecemerlangan Warisan, Bahagian Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sharifudin Yusop, menyifatkan tindakan Bendera sebagai melampaui batas.

Pengikut adalah penganggur

Mereka hanya melihat kekejaman majikan Malaysia, sedangkan ramai rakyat Indonesia yang mencetuskan pelbagai masalah di negara ini.

Sebagai salah seorang konsultan dari Malaysia yang turut serta mengendalikan portal Melayu di Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu (BKPBM), Yogyakarta, Sharifudin kerap berulang-alik dari Malaysia ke Yogyakarta serta singgah di Jakarta.

“Kumpulan Bendera tidaklah segah yang dipaparkan media. Sebenarnya, segelintir ahli saja yang lantang bersuara. Sebaliknya, ratusan yang lain hanya pengikut yang terdiri daripada penganggur dan orang gelandangan.

“Barangkali kata-kata saya agak sinis tetapi hakikatnya kumpulan Bendera berdemonstrasi kerana terdesak dan kesempitan hidup,” ujar Sharifudin mengenai rakyat Indonesia yang menyertai Bendera semata-mata untuk mendapatkan makanan.

Sebelum ini koordinator Bendera, Mustar menafikan dakwaan bahawa ahli kumpulan Bendera mengikuti demonstrasi kerana dibekalkan sebungkus nasi campur dan dibayar upah 30,000 rupiah (RM10.45) hingga 40,000 rupiah (RM13.90).

Tambah Sharifudin: “Perkara tersebut sememangnya berlaku. Saya melihat sendiri penganjur memberi sepuntung rokok, air kotak dan nasi bungkus sebagai upah kepada mereka yang menyertai demonstrasi tersebut.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: