Friday, October 15, 2010

Pesta kempen halal di Seremban


KOMPLEKS Belia dan Sukan Paroi menjadi lokasi penganjuran Kempen 1Malaysia 1Halal di Negeri Sembilan yang bermula hari ini.


SEREMBAN - Kempen 1Malaysia 1Halal (1M1H) yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini hari ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kempen itu yang julung kali diadakan di negeri ini merupakan edisi keempat selepas kejayaan siri jelajah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Perlis dan Teluk Danga, Johor.

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Johani Hassan, pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pengunjung pada kempen selama tiga hari yang akan berakhir pada 17 Oktober ini.

"Kita harap orang ramai dapat menambah ilmu pengetahuan selepas melawat gerai pameran dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

"Kita juga telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang kempen ini yang mendapat sokongan pelbagai pihak," katanya di sini semalam.

Aktiviti tersebut termasuk pameran produk halal oleh 70 usahawan selain kempen derma darah, pertandingan mewarna, dekorasi kek dan persembahan artis.

Antara artis yang bakal memeriahkan kempen itu termasuk juara Akademi Fantasia (AF) musim lalu, Shahir; kumpulan muzik alternatif, 6ixth Sense dan penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais.

Selain itu, orang ramai boleh mengunjungi gerai Kosmo! yang turut menempatkan sudut buku Utusan Publications & Distributors (UP&D) bagi menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: