Friday, October 15, 2010

PATI berkampung di tapak semaian


SEBAHAGIAN PATI yang ditahan di sebuah tapak semaian berhampiran Hospital Sungai Buloh semalam.


SUNGAI BULOH - Tidak disangka sebuah tapak semaian berhampiran Hospital Sungai Buloh dekat sini rupa-rupanya menjadi perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kawasan seluas kira-kira empat hektar yang dianggarkan boleh menempatkan lebih 100 penghuni itu agak terselindung daripada pandangan umum.

Mereka bukan sahaja menginap di dalam rumah yang dibina, malah menjadikan longkang berhampiran Plaza Tol Hospital Sungai Buloh sebagai tempat tidur dengan beralaskan papan lapis.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 3 pagi semalam, seramai 30 orang warga Indonesia termasuk tujuh wanita berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun diberkas.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, semua itu terbongkar selepas pihaknya melakukan risikan selama seminggu dengan menyamar sebagai pembeli di tapak semaian tersebut.

"Berdasarkan risikan yang dilakukan, kita menyerbu tapak semaian tersebut dan hasilnya kita memberkas kesemua mereka yang didapati melanggar peraturan antaranya tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Semua mereka akan ditahan lanjut untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke pusat tahanan," katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: