Wednesday, October 13, 2010

Motivasi lahirkan usahawan India


PEGUAM merupakan salah satu kerjaya yang popular di kalangan kaum India. - Gambar hiasan


SEMAKIN ramai belia India di negara ini menceburi dunia perniagaan yang menandakan satu perubahan dalam pemikiran dan cita rasa kaum tersebut. Sebelum ini, golongan belia kaum itu lebih bertumpu kepada sektor pengajian bidang perundangan dan perubatan.

Ketika usahawan India generasi lama kekal dalam sektor-sektor tradisional seperti peruncitan, restoran dan khidmat, golongan muda yang berpendidikan dan celik teknologi pula menceburi dunia teknologi seperti teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasi.

Meskipun belum ada satu data yang jelas pembabitan kaum India dalam perniagaan, pemerhatian melalui kedai-kedai telefon bimbit, khidmat membaikpulih IT dan pembekal penyelesaian jelas menunjukkan penyertaan mereka.

"Sebahagiannya didorong oleh usaha kerajaan untuk menggalakkan keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia," kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bersekutu India Malaysia (MAICCI), Datuk Kenneth Eswaran.

Menurut beliau, meskipun ia satu perkembangan positif, kaum itu masih tertinggal jauh di belakang untuk muncul sebagai usahawan cemerlang.

Eswaran yang juga seorang usahawan sejak 28 tahun yang lalu berkata, belia India yang beraspirasi menceburi dunia perniagaan mesti mempunyai lima ciri penting iaitu rajin berusaha, ikhlas, setia, komited dan jujur.


ABDUL WAHID EWRAS, 75, mewarisi kedai runcit moyangnya di kawasan Little India di persimpangan Jalan Bendahara dan Jalan Temenggung, Bandar Hilir, Melaka. - Gambar hiasan


Infrastruktur lebih baik

Mereka mesti bermotivasi tinggi dan yang lebih penting lagi mesti berusaha untuk membuka peluang tanpa menunggu pihak lain.

Mereka tidak harus mengharapkan orang lain membantu perniagaan mereka dari segi kewangan atau jalan pintas untuk berjaya.

"Jika usaha mereka itu berjaya, ia juga baik untuk negara. Memandangkan perniagaan diceburi oleh semua kaum, peniaga India juga perlu berusaha lebih untuk kebaikan semua pihak," katanya. Sejauh manakah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dapat memenuhi keperluan ahli-ahli perniagaan yang sudah pun bertapak dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan? Eswaran berkata, sistem penyampaian yang cekap dan satu mekanisme untuk memantau agenda RMK-10 perlu dilaksanakan.

"Kita tidak lagi bersaing dalam persekitaran tempatan dan sistem penyampaian yang tidak cekap akan menyebabkan pelabur asing beralih ke negara lain.

"Malaysia mempunyai infrastruktur yang jauh lebih baik berbanding negara-negara jiran, jika ia tidak dilengkapi dengan sistem penyampaian yang perlu, kita pasti ketinggalan," katanya.

Eswaran berkata, perlu ada satu jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memantau pelaksanaan RMK-10. Selain kerajaan, kita perlu penyertaan satu pasukan petugas untuk meneliti dasar-dasar kerajaan untuk membantu masyarakat India meningkatkan pemilikan ekuiti sebanyak tiga peratus.

Dana latihan

Adakah MAICCI akan merayu kepada kerajaan untuk peruntukan tambahan bagi sektor-sektor seperti perniagaan yang menjana peluang pengajian? Eswaran berkata: "Kita mesti menggunakan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan terlebih dahulu."


RAMAI belia India di negara ini terlibat dalam bisnes peruncitan.


MAICCI yang akan meraikan ulang tahun ke-60 tahun depan telah memohon kepada kerajaan untuk membenarkan para profesional India berkelayakan untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Itu satu daripada cadangan yang telah dibuat kepada kerajaan dan cadangan itu dalam pertimbangan," kata beliau.

Mengenai peruntukan kerajaan berjumlah RM2 juta untuk membolehkan MAICCI membantu usahawan India, Eswaran berkata, sehingga kini hanya RM1 juta telah disampaikan kepada MAICCI dan bakinya akan disampaikan selepas menilai aktiviti yang dijalankan.

"Dana itu antara lain akan digunakan untuk menyediakan latihan bagi golongan muda mengenai cara-cara untuk menubuhkan syarikat, membuka akaun bank, menguruskan akaun dan lain-lain.

"Kami mahu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan tidak sia-sia dan dibelanjakan bagi tujuan baik," kata Eswaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: