PROGRAM Susu Sekolah yang diperkenalkan sejak tahun 1981 telah meninggalkan impak yang besar dalam memupuk gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah di seluruh negara.
Hasilnya, program itu membantu para pelajar terbabit mendapat kalsium yang mencukupi, apatah lagi kempen tersebut ditonjolkan melalui cetakan bergambar pada kotak susu tersebut.
Bagi menyokong dan meneruskan usaha itu, Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan membekalkan produk minuman soya kepada sekolah-sekolah di seluruh negara secara percuma.
Kempen gaya hidup sihat itu dilancarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Melalui kempen tersebut seramai 100,000 pelajar sekolah rendah di seluruh negara dijangka mendapat manfaat tersebut.
Sebanyak 400,000 kotak susu soya Yeo’s akan diedarkan kepada 60 buah sekolah di seluruh negara melalui kempen yang berlangsung selama lima bulan itu.
Inisiatif yang dinamakan sebagai Program Susu Soya Sekolah Yeo’s itu untuk memupuk kepentingan amalan pemakanan seimbang di kalangan kanak-kanak selain memupuk kesedaran mengenai khasiat susu soya.
“Pelajar sekolah hari ini sentiasa terdedah dengan pelbagai pilihan makanan. Mereka lebih mudah membuat pilihan yang salah akibat kesibukan dan gaya hidup.
“Selain itu, kami juga ingin melihat pelajar-pelajar sekolah mempunyai pemahaman mengenai kitar semula dan memulihara alam sekitar melalui kempen yang sama,” kata Pengurus Besar Pemasaran Yeo’s, Vincent Chui pada majlis perasmian program itu. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah, Nafsiah Jaapar dan Guru Besar SK Sri Kelana, Rohayah Mohamad Sarif.
Bagi memeriahkan majlis tersebut, ceramah nutrisi dan pertandingan Chef Muda turut diadakan.
Pelbagai gelagat mencuit hati para pelajar tahun lima dan enam sekolah terbabit dapat disaksikan ketika berlangsungnya pertandingan tersebut.
Sebanyak enam pasukan yang terdiri daripada badan beruniform seperti Persatuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Persatuan Tunas Kadet Remaja Sekolah menyertai pertandingan itu.
Dengan menggunakan bahan-bahan seperti susu soya Yeo’s, buah-buahan segar, krim putar dan peralatan pengisar mereka menghasilkan minuman susu kocak yang enak.
Susu soya yang dikisar bersama buah-buahan segar dan dihiasi krim diberi nama smooth banana soya shake, yum-yum apple soya shake dan Yeo’s soya lychee milk shake.
Seorang peserta dari pasukan Persatuan Pengakap, Amira Dayana Faizah Azlan, 12, menyatakan keterujaannya kerana dapat turut serta dalam pertandingan Chef Muda yang berlangsung di sekolah tersebut.
|
|
“Sebelum ini saya hanya menikmati minuman yang sedia diminum, tetapi kali ini saya sendiri yang menghasilkannya.
“Ia merupakan pengalaman yang menarik kerana dapat berkongsi resipi ibu dan dihasilkan secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain,” katanya ditemui.
Kepada pelajar tahun enam (SK) Sri Kelana, Tusen Chandrasegarran, 12, program tersebut mendedahkannya kepada pengetahuan baru dalam menikmati pelbagai hidangan sihat.
“Sebenarnya cara menikmati minuman soya juga boleh dipelbagaikan. Dengan menambah sedikit buah-buahan dan krim, ia sangat menarik dan lazat diminum,” katanya.
Ketua kumpulan yang mewakili Persatuan Tunas Kadet Remaja Sekolah, Mohd. Isa Raziqqin Safaruddin, 12, berbincang bersama rakan-rakannya sebelum menghasilkan hidangan pada hari itu.
“Sehari sebelum pertandingan ini saya bersama empat rakan sepasukan berbincang mengenai resipi, cara-cara untuk membuat dan menghiasnya.
“Secara tidak langsung, program seperti ini mengeratkan hubungan kami,” kata pelajar kelas 6 Musytari itu.
Kumpulan Smart Ranger dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang beg cenderamata Yeo’s baucar bernilai RM50 dan trofi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: