Tuesday, October 26, 2010

Tradisi kunjungan ke Malaysia




KUNJUNGAN para pelajar dari Toyota Higashi Senior High School (THSHS) disambut dengan alunan paluan kompang oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras, Kuala Lumpur selaku tuan rumah.

Ketika rombongan melangkah masuk ke Dewan Kris Mas, para pelajar Jepun itu dihiburkan dengan dendangkan muzik cak lempong. Persembahan tradisional daripada pelajar SMK Cheras itu sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu dari negara Matahari Terbit itu.

Pertemuan generasi muda dari dua buah negara itu secara tidak langsung antara mereka yang dipupuk sejak enam tahun lalu.

Suasana di dalam dewan bertambah gamat dengan sorakan dan tepukan apabila pelajar THSHS dan SMK Cheras mempersembahkan seni kebudayaan masing-masing.

Buat julung-julung kalinya, 235 pelajar THSHS itu menyaksikan persembahan silat dan tarian tradisional Melayu. Pada masa yang sama, sebahagian pelajar THSHS juga mempersembahkan seni mempertahankan diri, karate yang popular di Jepun.

Suasana bertambah gamat apabila pengetua THSHS, Toda Hiroki, para pelajar dan 12 orang gurunya mendendangkan sebuah lagu khas buat warga SMK Cheras. Lagu berjudul Ponyo daripada animasi Jepun Gake no Ue no Ponyo itu dipersembahkan dengan gaya tersendiri.


MESRA. Gelagat spontan beberapa pelajar perempuan Jepun yang menunjukkan isyarat peace sebaik lensa kamera diacukan kepada mereka.


Selain dihiburkan dengan persembahan tradisional, pelajar THSHS berpeluang mempelajari cara-cara membuat kuih onde-onde.

Mereka juga dibawa melawat ke tapak pameran kebudayaan Malaysia dan pameran mengenai mata pelajaran di SMK Cheras.

“Saya dan rakan-rakan rasa teruja kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum, “ kata pelajar tahun dua THSHS, Miyake Yoshie, 17.

Sepanjang empat hari berada di Kuala Lumpur, gadis berambut panjang itu tidak melepaskan peluang mempelajari pelbagai perkara baru mengenai Malaysia.

“Sebahagian besar rakyat Jepun menaiki basikal untuk ke mana-mana, tetapi di Malaysia rakyatnya lebih selesa menggunakan kereta mungkin kerana faktor cuaca panas dan lembap.

“Kuala Lumpur adalah sebuah bandar raya yang sangat luas dan dikelilingi bangunan tinggi. Sebaliknya, di bandar kami sangat sesak dan saya menyukai suasana lapang seperti di Kuala Lumpur,” ujar Miyake dalam bahasa Jepun sambil dibantu oleh seorang penterjemah.

Sementara itu, pelajar tahun pertama THSHS, Matsuo Kaho, 16, pula menjelaskan, dia sanggup berjimat cermat semata-mata untuk mengunjungi Malaysia. Dia menyifatkan simpanannya yang bermula sejak dia mendaftar ke sekolah itu cukup berbaloi.

Tertarik tentang Islam

“Saya dapat menyaksikan pelbagai signatur pelancongan di negara ini.

“Macam-macam ada di Malaysia. Kami sempat melawat Batu Caves, Tugu Negara, kilang piuter dan melihat proses membuat batik,” kata Matsuo mengakui jiwanya tersentuh ketika melihat orang Islam menunaikan solat.


TODA (tengah) tidak melepaskan peluang menikmati kuih onde-onde.


Dia turut melahirkan rasa minat dan ingin tahu cara-cara mengambil wuduk dan memakai telekung seperti yang dilakukan oleh wanita Muslim.

Katanya, dia juga terpukau dengan cara-cara penganut agama Islam menunaikan solat lima waktu.

Lawatan pelajar-pelajar dari THSHS ke SMK Cheras itu merupakan acara tahunan yang disertai oleh pelajar tahun pertama dan dua sekolah terbabit. Pada tahun tiga pula mereka perlu memberi sepenuh tumpuan untuk peperiksaan akhir.

Sementara itu, Toda Hiroki menjelaskan, program tersebut merupakan salah satu inisiatif dan pendedahan awal kepada para pelajar sekolahnya mengenali dunia luar di samping bertukar-tukar pandangan.

Projek yang bermula sejak tahun 2004 itu pada asalnya memilih Malaysia dan Singapura. Setelah menimbangkan pelbagai faktor, pihaknya memilih Malaysia sebagai satu-satunya negara yang akan dikunjungi pada setiap tahun.

“Kami ingin terus bekerjasama dengan SMK Cheras sehingga tahun 2014. Ini bermakna setiap tahun rombongan pelajar THSHS akan melawat sekolah ini dan mereka akan didedahkan dengan budaya Malaysia.

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar Malaysia ke negara kami yang terkenal dengan pembuatan kenderaan jenama Toyota,” kata Toda.

Mengapakah SMK Cheras menjadi pilihan? Toda menjelaskan, sekolah itu mempunyai keistimewaan dari aspek budaya dan lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar. Pada masa yang sama, warga SMK Cheras juga mencerminkan masyarakat Malaysia yang ramah dan berbudi bahasa.

“Sekolah ini mempunyai pelbagai kaum. Ia bagaikan mewakili Malaysia. .


PELAJAR Jepun berpeluang mencuba alat tradisional cak lempung.


“Segala-galanya ada di SMK Cheras. Kerjasama yang berterusan ini diharap mampu mencapai matlamatnya iaitu mengenali budaya masing-masing,” ujar beliau ketika ditemui.

Acara tahunan

Saban tahun, SMK Cheras turut melakukan pelbagai kelainan pada programnya agar maklumat mengenai masyarakat Malaysia dapat diketengahkan kepada pihak luar seperti memperkenalkan makanan Malaysia, persembahan budaya dan pakaian tradisional.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Tadbir SMK Cheras, Hanim Kamari menjelaskan, pihaknya sentiasa menantikan kehadiran para pelajar luar negara untuk mengenali budaya Malaysia melalui sekolah yang mempunyai seramai 1,600 orang pelajar dan 127 orang guru itu.

“Ia sudah menjadi acara tahunan dalam kalendar sekolah. Pada bulan Oktober setiap tahun, kami akan menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar THSHS.

“Kami juga sentiasa menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar luar negara lain. Baru-baru ini SMK Cheras telah menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar Indonesia dan saya berharap agar pelajar-pelajar kita juga berpeluang melawat negara lain,” katanya kepada Kosmo!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: