Monday, October 4, 2010

Miang rumput panjang

TAMAN Permainan dan kawasan lapang berhampiran Taman Perumahan Air Manis, tidak diselenggara berbahaya kepada kanak-kanak.
TAMAN Permainan dan kawasan lapang berhampiran Taman Perumahan Air Manis, tidak diselenggara berbahaya kepada kanak-kanak.
Taman permainan di Taman Perumahan Air Manis jadi sarang binatang berbisa

SABAK BERNAM: Rumput dan lalang separas pinggang cukup menggambarkan taman permainan kanak-kanak di kawasan lapang Taman Perumahan Air Manis di sini terabai kerana tidak diselenggara dengan baik sehingga menimbulkan rasa kecewa penduduk.

Penduduk, Baharuddin Jamaluddin, 42, berkata semak di taman permainan itu amat menyakitkan mata dan cukup bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang menggunakan infrastruktur berkenaan.Ketika mula tinggal di situ awal Ogos lalu, katanya, beliau tidak bimbang untuk membiarkan anaknya bermain di situ tetapi kini, beliau terpaksa melarang mereka berikutan rumput dan lalang semakin tinggi.
“Keadaan terlalu semak menyebabkan saya tidak sedap hati melepaskan anak bermain sendirian di situ. Saya bimbang anak akan menjadi mangsa haiwan berbisa.

“Saya tidak mahu menunggu perkara seperti itu berlaku. Sehubungan itu, pihak yang bertanggungjawab perlu turun padang untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui Sentral, baru-baru ini.

Tinjauan di situ mendapati walaupun masih ramai pemilik rumah belum berpindah ke situ, ramai kanak-kanak mengambil kesempatan bermain di taman permainan itu pada hujung minggu.

Mereka bagaimanapun tidak selesa bermain di situ kerana badan mereka selalu berasa miang kerana terkena rumput panjang.
Seorang lagi penduduk, Mohd Khairul Farid M Ariffin, 36, berkata kawasan padang di sekitar taman itu juga semak menyebabkan penduduk berhampiran bimbang jika ia menjadi sarang haiwan berbisa.

“Memang penduduk di sini belum ramai tetapi itu tidak bermakna kita dan anak tidak perlu beriadah untuk menjaga kesihatan. Usah abaikan kebajikan kami hanya disebabkan taman ini belum ramai penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Zaini Saari, 38, berkata kawasan lapang dan padang permainan itu bukan saja tidak dapat berfungsi dengan baik kepada kanak-kanak malah kepada orang dewasa yang ingin beriadah.

“Kepada pihak yang berkaitan, saya berharap mereka dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: