Monday, October 4, 2010

Serlah suasana klasik

pix_gal0
Ismawaddy Ismail hadkan perhiasan dinding, pilihan cat kuning bagi bangkitkan penataan

SAAT mula memiliki rumah lapan tahun lalu, Ismawaddy Ismail, 36, sudah menetapkan gabungan penataan moden dan klasik untuk dicuba. Sentuhan moden mewarnai hiasan dalaman menerusi penggunaan perabot rekaan semasa dengan perhiasan cita rasa terkini manakala bahagian beranda hadapan yang menempatkan landskap mini serta ruang meletak kereta digarap merujuk cita rasa klasik tradisional.

Namun, lain dirancang, lain jadinya. Impian asal untuk mengemukakan penyatuan dua gaya tidak berjaya dilaksanakan apabila bukan saja beranda memaparkan gaya klasik bahkan pengaruhnya berterusan hingga bahagian dalam rumah menerusi potongan langsir, motif sofa dan permaidani, pilihan rekaan klasik kerusi meja makan kayu, kabinet hias separa bulat, meja konsol dan sebagainya.Ismawaddy mengakui terlepas pandang dan hanya mengenalpasti kesilapannya itu selepas sempurna seluruh hiasan dalaman rumah.
“Secara jujur, saya tidak menetapkan konsep tertentu namun pernah terdetik menggayakan penataan moden. Sebab itu, saya beli sofa fabrik namun tidak menyangka pula motif bunga halus sarung sofa meminjamkan gaya Inggeris selain menyerlahkan ciri konservatif ruang,” kata bapa tunggal dua cahaya mata perempuan itu.

Selain itu, Ismawaddy bertuah kerana ibunya, Jamaliah Husin, 58 mempunyai kemahiran menjahit langsir menawarkan pertolongan menyediakan semua kemasan itu di rumahnya. Hasilnya, bukan saja potongan siku keluang menyeri tingkap bahkan turut dilihat langsir sheers, pelmet, lisu Perancis dan tab.

“Soal langsir saya serahkan kepada ibu kerana dia pakar dalam menyesuaikan rekaan, corak dan warna langsir dengan perabot serta kemasan. Bagi bilik tidur, ibu memilih potongan siku keluang yang menjanjikan impak romantik. Ilham lisu Perancis pula untuk ruang tamu sangat secocok dengan sofa berbunga dan jambangan ros gergasi di penjuru dinding. Sekurang-kurangnya adalah juga sentuhan kewanitaannya,” katanya.

Eksekutif bank ini turut mendedahkan rahsia pilihan cat dinding warna kuning jagung dan kecenderungannya mengehadkan perhiasan dinding.
Katanya, skim ceria kuning membantu menghidupkan suasana dan menjadikan ruang nampak sekali ganda luas. Bertepatan suasana lapang yang diingininya, melainkan lukisan dan kalimah suci, Ismawaddy memastikan dinding bebas dari gantungan perhiasan berlawanan konsep khasnya panel kayu berukir.

“Bagi saya, dinding tidak perlu banyak hiasan apatah lagi membabitkan kediaman siling rendah seperti ini. Lukisan pemandangan dan tulisan ayat-ayat suci memadai menyerlahkan karektor dan membangkitkan keceriaan. Lebih elok sekiranya perhiasan terutama koleksi kesayangan diberikan satu sudut istimewa misalnya dipamerkan di kabinet hias kaca, rak serta para terbuka,” katanya merujuk koleksi peribadi kelengkapan menghidang Bohemian yang diperagakan di kabinet rendah di ruang menonton dan replika pelbagai model kereta mewah dalam kabinet jati di penjuru dinding ruang makan.

Katanya, selain simbolik kasih sayang serta penghargaan terhadap koleksi berkenaan, berbanding diperagakan di dinding, usaha mengumpulnya pada satu-satu tempat berupaya mewujudkan titik fokus selain meraih tumpuan.

“Saya percaya sesuatu barang atau perhiasan berupaya mencipta kelasnya tersendiri apabila dihimpunkan bersama. Adakalanya, walau macam mana cantik pun sesuatu aksesori, sifat eksklusifnya segera lenyap jika tidak kena atur letak selain gagal menepati keperluan tema serta konsep ruang,” katanya selain himpunan Bohemian dan model kereta, gemar mengumpul gelas kaca memuatkan logo serta destinasi dunia yang dilawati termasuk kota London, Paris, Edinburgh serta New Zealand.

Menyentuh mengenai keunikan beranda hadapan rumah yang dibina berteraskan seni bina rumah kampung, Ismawaddy berkata, ilham itu diperolehnya ketika memandu di kawasan Hulu Langat, lima tahun lalu.

Tertarik dengan suasana permai kampung dan nostalgia rumah Melayu yang menemaninya sepanjang perjalanan, Ismawaddy berazam mengabadikan unsur itu di kediaman sendiri.

“Mustahil bagi saya meroboh kediaman dua tingkat ini untuk digantikan dengan rumah kampung sepenuhnya biarpun teringin menikmati keseronokan tinggal di rumah seperti itu. Bagi memenuhi selera dan kehendak hati, saya cuba serapkan pengaruh serta ciri seni bina Melayu menerusi binaan beranda membabitkan perincian alang serta kasau bumbung, ukiran birai atap malah turut diselitkan kepingan kaca berwarna yang dulunya popular menghiasi rumah tradisional Melaka,” katanya.

Katanya lagi, ilham memasukkan kepingan kaca berwarna muncul kemudian bagi menzahirkan keunikan gaya. Tidak pula dia menyangka setelah siap pembinaan, unsur kaca berwarna itu menjadi tarikan utama sekali gus mengundang tumpuan tetamu serta orang lalu lalang.

Malah, demi menguatkan pengaruh tradisional itu, Ismawaddy selanjutnya mengambil keputusan membina landskap nusantara, wakaf istirahat di samping menanam pokok buah-buahan tempatan seperti mata kucing, mangga, betik, ciku dan sebagainya di kawasan rumahnya itu.

Alasannya, dia ingin menghidupkan suasana kampung selain dapat juga menikmati keenakan buah-buahan tempatan itu apabila pokoknya mengeluarkan buah kelak.

“Jangan lupa rimbun daun pokok ini berupaya mewujudkan persekitaran teduh, sihat di samping menjadi terapi mata. Pendek kata, ia adalah pakej lengkap bagi sebuah kehidupan sempurna,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: