Monday, October 18, 2010

Merah Jambu Tanda Sokongan

Selebriti tanah air mengambil kesempatan bergambar di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad yang diterangi cahaya neon merah jambu sempena kempen kesedaran kanser payu dara di Kuala Lumpur.

OKTOBER ini, merah jambu adalah warna rasmi. Bukan kerana ia rona paling feminin atau banyak majlis perkahwinan berlaku (ramai memilih tanggal 10 Oktober untuk melangsungkan perkahwinan), sebaliknya ia adalah disebabkan kemeriahan sambutan kempen kesedaran kanser payu dara (BCA) yang digelar Pink October.

Malah mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, bangunan Sultan Abdul Samad di hadapan Dataran Merdeka turut dilimpahi cahaya merah jambu neon yang secara tidak langsung menceriakan suasana seluruh kawasan tersebut.

Dianggap kempen terbesar dan paling signifikan dengan peningkatan nisbah penghidap kanser payu dara, Pink October bukan sekadar suka-suka berbaju sedondon, sebaliknya merupakan inisiatif penting yang sentiasa berkembang ke arah memastikan keberkesanan penyebaran mesej kepada semua lapisan masyarakat.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada ketika ini sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan paling sibuk melaksanakan pelbagai program demi membangkitkan kesedaran umum mengenai bahaya kanser payu dara dan langkah mudah bagi mengesan sekali gus mengelak kebarangkalian menghidap penyakit berbahaya itu.

Komitmen Estee Lauder

Salah satu penganjur terbesar di Malaysia adalah Syarikat Estee Lauder Malaysia (Estee Lauder).

Sejak 13 tahun lalu, Estee Lauder menyumbangkan lebih 550,000 kad panduan pemeriksaan sendiri payu dara dan reben merah jambu dengan RM1.6 juta disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA), Kolej Radiologi, Pertubuhan Kanser Kebangsaan dan terbaru, Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser.

Ia merupakan rentetan komitmen Estee Lauder Companies (ELC) Inc, khasnya Evelyn Lauder dan Naib Presiden Korporat Kanan, Alexander Penney yang ketika itu merupakan pengarang majalah Self. Beliau mewujudkan idea reben merah jambu yang kemudiannya menjadi objektif penting ke arah memerangi kanser payu dara di kalangan wanita pada 1992.

Kini, usaha tersebut menjangkaui lebih 140 negara di seluruh dunia. Hampir 18 tahun kemudian, Yayasan Penyelidikan Kanser Payu Dara yang ditubuhkan Lauder berjaya mengumpul lebih USD200 juta bagi tujuan penyelidikan kanser dan membangkitkan kesedaran jutaan manusia dengan reben simbolik itu.

Sempena kempen BCA tahun ini, Estee Lauder mengambil tema Connect. Communicate. Conquer (Berhubung. Berkomunikasi. Tangani), kempen provokatif oleh Presiden Kanan dan Pengarah Kreatif MAC, James Gager menggunakan khidmat jurugambar tersohor dunia, Michael Thompson.

Pengarah Urusan Syarikat Estee Lauder, Loo Kai Nan memberikan ucapan alu-aluan pada majlis Iluminasi Mercu Tanda Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 5 Oktober lalu.

Imej wanita menyentuh payu dara kiri itu mengimbas kembali kaedah ‘High-Touch’ pada 1946 di mana para pengguna dihubungkan menerusi telefon dan telegraf.

Pendekatan menangani kanser payu dara lebih simbolik apabila wanita dan lelaki moden masa kini harus lebih rapat antara satu sama lain untuk jaringan komunikasi efektif.

Iluminasi mercu tanda

Dalam pada itu, inisiatif Global Landmarks Illumination yang dilancarkan 10 tahun lalu pula bertujuan menumpukan perhatian global terhadap isu kanser payu dara dengan menerangi ratusan mercu tanda di seluruh dunia.

Antaranya termasuk Empire State Building, Niagara Falls, menara condong Pisa, bangunan Taipei 101 dan Menara Kuala Lumpur (KL).

Pada 5 Oktober lalu, buat julung kalinya bangunan Sultan Abdul Samad dipilih sebagai mercu tanda negara tahun ini.

Pelancaran itu dihadiri Timbangan Menteri II Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin D’Cruz selain Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Zuraidah Mohd Said; Pengarah Urusan Suria Meriang Sdn Bhd, Loo Kai Nan; Pengarah Urusan Hwa Tai Industries Berhad, Airique Soo dan Pengerusi Jawatankuasa Kempen BCA Estee Lauder 2010, Michael Liew.

Pada masa yang sama di New York, sebanyak 38 mercu tanda bersejarah mencatatkan Rekod Dunia Guiness sebagai mercu tanda paling banyak diterangi bagi tujuan tertentu dalam tempoh 24 jam.

Jangka masa dicatatkan bermula 12 tengahari pada 30 September dan berakhir pada waktu yang sama, keesokan harinya.

Jurucakap Estee Lauder, Elizabeth Hurley bersama-sama Lauder menerangi bangunan Empire State dengan cahaya neon merah jambu sempena memperingati usaha tersebut yang bermula di mercu tanda tersebut, 11 tahun lalu.

Rekod dunia tersebut bermula di Federation Square dan National Library, masing-masing di Melbourne dan Canberra, Australia pada 30 September diikuti struktur ikonik Taj Mahal Palace & Tower Hotel (India), Burj Al Arab (Dubai), Tokyo Tower (Jepun), Las Condes City Hall (Chile), Hotel Majestic (Perancis) dan banyak lagi.

Program padat

Dalam usaha memerangi kanser payu dara di negara ini, Estee Lauder mengambil kesempatan melaksanakan aktiviti lebih besar yang diharapkan memberi lebih impak pada setiap tahun.

Kalender aktiviti Kempen BCA Syarikat Estee Lauder 2010 merangkumi jadual padat bermula bengkel kecantikan Look Good, Feel Better akhir Julai lalu di Hotel Nikko, Kuala Lumpur yang memberi semangat dan harapan kepada pesakit kanser agar dapat mengawal kesan sampingan fizikal akibat rawatan.

Bengkel terdahulu termasuk kumpulan jurusolek profesional Estee Lauder memberikan tip untuk wanita agar tampil berkeyakinan, walaupun dipadankan dengan rambut palsu.

Bukan itu sahaja, jurugambar profesional turut dipanggil bagi merakamkan potret kenangan para peserta untuk dibawa pulang.

Turut diadakan kembara promosi di pusat membeli-belah seperti Mid Valley Megamall dan The Gardens, 1 Utama.

Sepanjang kempen itu, khidmat nasihat dan klinikal ditawarkan kepada umum tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, pemeriksaan klinikal payu dara oleh pakar dan ahli nutrisi.

Para pengunjung juga berpeluang menderma kepada dana kesedaran kanser payu dara dengan menyumbang minimum RM10 untuk merakamkan gambar masing-masing dan ditampal pada Pink Photo Wall.

Dengan sebarang amaun derma juga, anda diberikan logo reben merah jambu percuma sebagai tanda sokongan anda.

Pada 28 Oktober ini, Estee Lauder mengadakan BCA Charity Golf Tournament 2010 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), acara tahunan sejak 11 tahun lalu.

Pengarah Urusan, Loo Kai Nan berkata, kejohanan golf itu merupakan program terawal yang dianggap paling penting kerana membantu menjana ribuan ringgit.

“Setiap tahun 128 hingga 150 pemain golf menyertai kejohanan ini setiap tahun demi menyokong kempen kesedaran terhadap kanser payu dara.

“Tahun ini, penghibur antarabangsa Francis Yip akan turut serta buat pertama kalinya. Jika orang ramai ingin bersama-sama bersaing dengan beliau, hanya perlu menyumbang RM9,000 untuk peluang sekali dalam seumur hidup,” katanya.

Pada 29 Oktober pula, Yip akan mengadakan persembahan istimewa bagi mengumpul dana lebih besar kepada tujuan itu di Plenary Hall, KLCC.

Untuk mendapatkan tiket, hubungi AXCESS Hotline di talian 03 7711 5000 atau layari laman web www.axcess.com.my.

Sempena pembukaan tirai Pink October tahun ini, Estee Lauder menawarkan Bobbi Brown Pink Shimmer Brick Compact secara eksklusif di semua premis Isetan pada RM150 bagi mengumpulkan sebanyak mungkin dana kepada yayasan tersebut.

Pada masa sama, beberapa produk eksklusif turut ditawarkan seperti reben merah jambu Estee Lauder Enamel (RM10), baju-T Estee Lauder Companies Malaysia Breast Cancer Awareness Campaign (RM50) dan Origins Peace of Mind on-the-spot Relief, produk aromaterapi daripada daun selasih dan pudina untuk menenangkan minda. Botol merah jambu istimewa ini direka khas sempena bulan BCA (RM53).

Di samping itu, koleksi eksklusif Estee Lauder Evelyn Lauder Pink Ribbon juga menemui peminat Estee Lauder.

Rona-rona bagi koleksi gincu ini dipilih sendiri oleh Evelyn Lauder, iaitu Pure Color Crystal Tiramisu, Pure Color Candy dan Pure Color Rubellite.

Didatangkan dalam bekas merah jambu lembut, koleksi ini merupakan peringatan ke arah menyokong usaha itu.

Sepanjang Oktober juga, semua kaunter dan premis Aramis, BeautyBank, Bobbi Brown, Clinique, DKNY, Estée Lauder, La Mer, Lab Series Skincare for Men, Origins, Tommy Hilfiger dan Sean John Fragrances mengedarkan reben merah jambu dan kad pemeriksaan sendiri payu dara. Untuk maklumat lanjut, layari www.elcbca.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: