Monday, October 18, 2010

Berpindah Tak Semudah Menerima Notis

Kami tak mahu pindah...Sebahagian daripada penghuni kuarters Jalan Cochrane menunjukkan isyarat tidak setuju dengan arahan JPM supaya mereka mengosongkan kuarters selewat-lewatnya 15 Disember ini atas beberapa sebab.

BERPINDAH ke rumah baru dengan kerelaan sendiri memang menyeronokkan. Namun perasaan sebaliknya akan dirasai bagi mereka yang terpaksa berpindah atas kehendak empunya kediaman atau faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Lebih merumitkan keadaan penyewa apabila mereka diminta berpindah dalam masa yang singkat tanpa pemilik kediaman memberi sebarang bayangan sebelum mengeluarkan notis pindah terlebih dahulu.

Namun, nasib seperti inilah yang terpaksa diterima lebih 500 penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur (KL) yang kebanyakannya sudah menetap di sini lebih dari 10 tahun.

Realitinya mereka yang terdiri daripada penjawat awam ini menghadapi masalah kewangan untuk berpindah selain perlu berdepan beberapa masalah lain. Mingguan mStar cuba menyingkap isu dan permasalahan ini.

TANPA sebarang desas-desus kedengaran, secara tiba-tiba seramai 553 keluarga yang menghuni di kuarters Jalan Cochrane, Kuala Lumpur diarahkan keluar dari kediaman mereka selewat-lewatnya 15 Disember tahun ini.

Arahan tersebut diterima melalui notis yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dihantar sendiri oleh kakitangan jabatan tersebut.

Notis bertarikh 4 Mei 2010 dan dihantar sekitar pukul 10 malam itu mengarahkan kesemua penghuni terbabit mengosongkan kuarters kerajaan berusia sekitar 40 tahun yang sedang didiami berikutan projek yang akan dijalankan di kawasan berkeluasan kira-kira 14 hektar itu.

Bagi penghuni-penghuni kuarters tersebut, mahu atau tidak notis yang sampai ke tangan mereka itu terpaksa diterima tanpa sepatah kata mahu pun bantahan.

Sedar kediaman yang didiami itu bukan hak mutlak mereka, apa yang pasti tersemat pelbagai rasa dan kegusaran dalam hati masing-masing apabila mereka berasa arahan tersebut meninggalkan impak seterusnya memberi tekanan kepada mereka yang rata-ratanya sudah berkeluarga.

‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’! Melangkah keluar dari situ nyata tidak semudah mereka menyambut notis yang diberikan.

Banyak perkara dan urusan perlu dilangsaikan sebelum mereka dapat mengangkat kaki meninggalkan kediaman milik kerajaan itu sehinggakan tempoh persediaan selama tujuh bulan yang diberikan dirasakan tidak mencukupi.

Kuarters kerajaan Jalan Cochrane bakal dirobohkan untuk tujuan pembangunan.

Di sana-sini terdengar keluh-kesah penghuni kuarters yang ‘pening kepala’ memikirkan kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung mereka untuk urusan perpindahan.

Lebih merungsingkan fikiran apabila jarak perjalanan di antara kuarters di Jalan Cochrane dengan kuarters di Putrajaya yang disediakan untuk mereka begitu jauh dengan tempat kerja mereka yang kebanyakannya mencari rezeki di ibu kota.

Ini bermakna, jika mereka bersetuju berpindah ke Putrajaya, secara tidak langsung kos ulang-alik ke tempat kerja turut meningkat berbanding kos sebelum ini.

Seandainya penghuni-penghuni yang diarahkan keluar ini terdiri daripada penjawat awam peringkat atasan, barangkali mereka tiada masalah menuruti arahan tersebut.

Namun situasi adalah sebaliknya! Penduduk-penduduk terbabit majoritinya terdiri daripada penjawat awam kumpulan sokongan dengan pendapatan bulanan lingkungan RM2,500 ke bawah.

Belum selesai kemelut kewangan, timbul juga masalah menguruskan pertukaran sekolah anak-anak.

Beberapa perancangan yang telah diatur sedari awal seperti kenduri-kendara, urusan pemergian ke Mekah dan sebagainya turut terbantut gara-gara disuruh berpindah.

Justeru, penghuni di sini telah membuat beberapa tindakan dan rundingan dengan pihak bertanggungjawab dalam usaha mempertahankan hak mereka sebagai penjawat awam.

Sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Bertindak Penangguhan Perpindahan Kuarters Jalan Cochrane telah ditubuhkan bagi menunjukkan tanpa protes penghuni dan dalam masa yang sama membolehkan rayuan dikemukakan kepada pihak kerajaan supaya melanjutkan tempoh berpindah sehingga tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: