Thursday, October 21, 2010

‘Lady Gaga’ Malaysia



SANA-SINI, orang asyik memperkatakan tentang imej baru Alyah,29, yang tak ubah seperti Lady Gaga. Berani tampil dengan solekan ‘gothic’ dan pakaian yang ‘futuristik’ Alyah nampaknya semakin ghairah dengan imej yang dicetuskan penyanyi antarabangsa itu.

Mungkin bagi sesetengah pihak, imej seperti itu tidak bersesuaian dengan orang timur seperti kita, namun bagi Alyah, ia sekadar fesyen untuk diterokai.

“Saya jenis yang suka mencuba. Apa yang saya pakai sekarang memang tengah popular di seluruh dunia dan tidak salah sekiranya saya ingin mencuba.

“Lagipun fesyen ini pernah berlaku dulu dan penyanyi seperti Noor Kumalasari pun pernah membawa imej ini,” kata Alyah yang tidak kisah sekiranya imejnya itu dikecam segelintir pihak.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’ ini juga tidak kisah walaupun ada pihak yang menuduhnya cuba meniru Lady Gaga.

Jelas Alyah, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana fesyen itu juga menjadi ikutan artis popular seperti JLO dan juga Qistina Aguilera.

“Muzik dan fesyen adalah seiring. Saya tampil dengan imej ini juga kerana single terbaru saya, Kau Bisu yang konsepnya adalah ‘Pop Futuristik’. Tambahan lagi, saya memang suka dengan imej seperti ini dan inilah diri saya yang sebenar,” kata Alyah yang ditemui ketika pelancaran video klip lagu itu di Red Box, Garden.



Labur RM35,000 untuk video muzik ‘Kau Bisu’

Demi mencari kelainan untuk video klip terbarunya, Alyah sanggup mengeluarkan wang saku sendiri dengan kos keseluruhan mencecah RM35,000.

Seperti mana imej dan konsep lagu barunya itu, begitulah samanya dengan hasil video muzik Kau Bisu yang dilihat setanding dengan karya antarabangsa.

Akui berpuas hati dengan video muzik arahan Ghaz dari The Media Hustler Sdn Bhd, Alyah berkata, ia menepati apa yang diinginkannya selama ini.

“Buat pertama kalinya, saya bekerjasama dengan orang tempatan dan hasilnya memang memuaskan.

“Muzik video ini juga sangat mencabar, kerana selain sukar untuk mendapatkan lokasi yang sesuai, ia juga mengambil masa yang lama untuk disiapkan,” kata Alyah yang pernah menjalani penggambaran video muzik di Indonesia untuk lagu terdahulu.



Tidak mampu bayar pengurus

Memandangkan Alyah sudah bertukar beberapa pengurus, maka timbullah pelbagai spekulasi yang tidak enak tentang dirinya.

Paling ketara, dia dituduh sebagai artis yang tidak berdisiplin. Bagaimanapun, kata Alyah, dia sebenarnya tidak mampu membayar pengurus kerana menanggung kos syarikat yang tinggi.

“Banyak projek yang saya buat dan untuk video muzik ini pun memerlukan kos yang tinggi. Jadi saya terpaksa lepaskan pengurus yang ada.

“Tapi saya berhubung baik dengan mereka. Dan mereka pun masih memanggil saya sekiranya ada persembahan,” kata Alyah yang meletakkan syarat tempoh tiga bulan percubaan kepada setiap pengurus yang ingin bekerja dengannya bagi mencari keserasian.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: