
SEJAK kecil, Xavier Mah Kah Yeep, 26, memasang impian memiliki sebuah syarikat sendiri. Bukan tidak sanggup bekerja di bawah arahan orang lain tetapi dia ingin mengecapi kepuasan dan melihat kejayaan syarikatnya hasil titik peluh sendiri.
Namun, anak kelahiran Batang Berjuntai, Selangor itu akur bahawa usaha membuka perniagaan bukan proses mudah. Ia memerlukan pengalaman dan modal yang besar.
Menyedari hakikat tersebut selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) tiga tahun lalu, dia tidak terburu-buru membuka syarikat.
Sebaliknya, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu bertatih dahulu dalam bidang produksi di stesen NTV7 dan portal hiburan www.gua.com.my. Bidang kerjaya itu dilihat bersesuaian dengan ilmu pengajian yang diperolehnya.
"Tapi tempoh bekerja dalam bidang produksi tidak lama. Saya hanya bertahan selama dua tahun. Walaupun seronok berjumpa dan menemuramah ramai selebriti, golongan ternama dan orang awam, jiwa saya bukan di situ.
"Saya gemarkan tugasan yang membolehkan saya berkomunikasi secara langsung dengan orang ramai, menguruskan acara sekali gus membantu melancarkan operasi syarikat.
"Sebab itulah, saya gembira apabila diterima pula berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran di salun A Cut Above," tutur Xavier selepas majlis pelancaran syarikat perhubungan awamnya, AX, yang dikongsi bersama supermodel dan selebriti popular tempatan, Amber Chia.
![]() |
| XAVIER sudah lama mengidam menguruskan syarikat sendiri. |
Kepercayaan pihak A Cut Above terhadap Xavier menguruskan bermacam-macam acara dan majlis berprestij untuk salun berkenaan secara tidak langsung membantu anak muda itu memantapkan portfolionya.
Berkat usaha dan tunjuk ajar daripada pengasas salun itu, Winnie Loo, anak muda itu semakin mencintai dunia perhubungan awam. Pada masa yang sama, pengalaman yang dikumpulkan itu telah menyuntik keyakinannya untuk terus berkecimpung dalam bidang berkenaan.
"Sekali lagi saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana mengejar impian membuka perniagaan sendiri. Mujur majikan memahami dan tidak putus-putus memberi sokongan.
"Saat yang menggembirakan apabila rakan baik saya, Amber, bercadang membuka syarikat perhubungan awam dan konsultan. Selepas berbincang dan menyusun strategi, maka lahirlah AX Public Relations Consultancy," ujar Xavier yang tidak menyangka impiannya menjadi kenyataan.
AX Public Relations Consultancy cenderung menawarkan khidmat menguruskan acara dan program yang berkonsepkan fesyen, kecantikan, muzik dan produk elektronik.
Bagi Amber Chia, objektif penubuhan AX Public Relations Consultancy bertujuan membantu para pelanggannya mencapai sasaran bisnes semaksimum mungkin.
"Kami berdua memiliki keunikan dan kekuatan tersendiri. Semoga kolaborasi ini dapat menghasilkan kerja dan kreativiti yang menepati cita rasa dan kehendak pelanggan," ujar Amber.
Majlis perasmian AX Public Relations Consultancy yang diadakan di Skewers Subang Avenue, Subang Jaya, Selangor, berlangsung dalam suasana yang cukup meriah. Majlis itu turut menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan barisan selebriti popular tanah air.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: