Wednesday, October 20, 2010

Kanak-kanak banyak berimaginasi

AKTIF...setiap pendedahan beri pengalaman baru kepada si kecil.
AKTIF...setiap pendedahan beri pengalaman baru kepada si kecil.

KANAK-KANAK dilahirkan dengan potensi untuk menjadi lebih kreatif. Mereka berhak diberi peluang untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka serta menggunakan sepenuhnya potensi mereka.

Apatah lagi menariknya, kanak-kanak memiliki rasa ingin tahu yang membuak-buak serta sikap suka belajar mengenai sesuatu yang baru.

Menurut pakar psikologi yang juga Naib Presiden Kolej Universiti Help, Dr Goh Chee Leong, pembabitan kanak-kanak dalam aktiviti lasak untuk menguji minda adalah antara usaha terbaik untuk membantu perkembangan diri mereka.


"Aktiviti seperti berkayak, mendaki, berenang atau merentasi halangan tertentu dianggap satu proses pembelajaran dan penerokaan terbaik buat si kecil untuk belajar serta mencuba sesuatu dalam mendedahkan mereka kepada pengalaman baru.

"Penerokaan menerusi permainan dan soalan yang menguji keupayaan berfikir itu amat baik untuk membantu kanak-kanak mencapai potensi diri," katanya.


Menurutnya, kreativiti sememangnya memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam pelbagai cara.

"Kanak-kanak lebih banyak menggunakan imaginasi, bersedia untuk mencuba perkara yang berlainan dan berani memperlihatkan ekspresi diri dengan berfikiran terbuka."Di samping itu, mereka dapat membina ketabahan, keyakinan dan keupayaan diri untuk berdikari serta toleransi," katanya.


Kata Dr Goh, mendedahkan kanak-kanak dengan melakukan aktiviti sesama mereka seperti permainan adalah sebahagian daripada pembelajaran yang membantu memupuk kemahiran pemikiran kreatif."Misalnya, aktiviti ke tempat menarik atau mengikuti program khusus untuk mereka adalah peluang untuk belajar perkara baru tanpa rasa takut. Ini akan membolehkan mereka memerhati persekitaran lain di luar rumah serta merangsang proses pembelajaran lebih berkesan," katanya.


Sebagai ibu bapa, mereka boleh memainkan peranan penting untuk menggalakkan si kecil dengan menyediakan persekitaran yang menggalakkan kreativiti.


Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa memberikan alasan kerja yang banyak membuatkan mereka terleka sehingga ada kalanya tidak membantu merangsang perkembangan minda anak-anak.


Keadaan itu boleh memberi kesan tidak baik terhadap proses tumbesaran kanak-kanak sedangkan peranan ibu bapa sewajarnya membentuk minda serta merangsang perkembangan kognitif yang positif.

Ini sekali gus membentuk persekitaran yang membantu merangsang kanak-kanak ke arah hidup lebih sihat demi kecemerlangan masa depan mereka.


Dr Goh juga tidak menafikan kesibukan ibu bapa terutama wanita berkerjaya sememangnya cabaran besar namun ia tidak harus dijadikan halangan untuk mengendalikan urusan anak dengan bijaksana menerusi pembahagian masa sewajarnya.


"Tidak merancang masa rehat dan riadah anak-anak, jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan mereka serta wujudnya jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak memungkinkan anak itu terdorong melakukan sesuatu di luar jangkaan.

"Apabila melihat kelakuan anak-anak, ia lazimnya dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.


"Justeru, galakkan perkembangan yang sihat di kalangan anak-anak. Apabila mereka terbabit dengan aktiviti sihat serta sentiasa didorong hal positif, ia akan menghasilkan nilai yang baik untuk masa depan mereka kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: