NAMANYA saja amat unik apabila disebut kala pertama kali diperkenalkan mengenainya di Tokyo, Jepun, beberapa bulan lalu.
JENAMA ANTARABANGSA...butik Uniqlo di Paris Opera, Perancis.
Meskipun rekaannya minimal dengan pilihan pelbagai warna, Uniqlo sebenarnya bertindak sebagai pelengkap gaya suai padan yang boleh digandingkan dengan apa jua pakaian yang ada dalam koleksi seseorang.
Seperti kata Ketua Pegawai Operasi Fast Retailing Group (yang juga pengasas Uniqlo), Tadashi Yanai, Uniqlo bukanlah label yang dicipta mengikut gaya terkini tapi berusaha mencetuskan kreativiti si pemakai dalam menyuai padan penampilannya.
“Uniqlo amat berpegang teguh kepada falsafah rekaan untuk semua dan kami berusaha menyediakan pakaian yang sesuai untuk semua jenis manusia, melangkaui kategori seperti umur, pekerjaan, kewarganegaraan dan jantina.
“Kami tidak kisah di mana jua anda berada kerana Uniqlo mencipta pakaian untuk semua kategori dan kumpulan sosial. “Pakaian kami direka untuk semua, menjangkaui usia, jantina, etnik dan apa jua yang sering membezakan antara satu sama lain.
“Kami percaya kepada pakaian yang ringkas tapi amat penting dan universal, jadi ia memudahkan individu itu bebas menggabungkannya dengan stail unik mereka.
“Ia adalah idea yang lebih baik daripada mengeluarkan produk yang seakan-akan meniru jenama lain.“Tapi kami juga tetap menerapkan sedikit elemen fesyen terkini dan paling utama ia tidak kekok dipakai,” katanya.
Kata Yanai, kemunculan Uniqlo di Malaysia bulan depan, hadir tepat pada masanya selepas lebih 27 tahun jenama itu dinikmati khalayak Jepun.
“Selepas kejayaan Uniqlo di Eropah (England, Perancis dan Russia) diikuti Amerika Syarikat, China, Korea, Hong Kong, Singapura dan Taiwan, Malaysia adalah destinasi terkini yang disifatkan mempunyai prospek tinggi memandangkan masyarakat Malaysia mula menitikberatkan gaya serta penampilan kreatif.
“Setiap yang kami lakukan sentiasa berakar umbi dari Jepun, sentiasa menuju kepada kualiti tertinggi dalam rekaan dan teknologi.
“Namun, pada masa sama, kami juga memastikan setiap helaian yang dikeluarkan Uniqlo berpatutan dan mudah diperoleh semua.
“Uniqlo juga diibaratkan cara pemikiran yang sentiasa berubah, mewujudkan kepelbagaian dan mencabar kebijaksanaan konvensional.
“Kami percaya setiap individu boleh mendapatkan keuntungan daripada pakaian yang ringkas tapi direka sebaiknya,” ujar Yanai.
Ternyata aspek ringkas yang diangkat sebagai paksi utama dalam jenama ini berjaya meletakkan Uniqlo dalam senarai lima teratas selaku jenama pakaian terlaris di dunia menerusi jualan mencecah ¥576 bilion (RM21.7 bilion) pada Ogos 2009, selepas Inditex (yang mengeluarkan jenama Zara), Gap, H&M dan Limited Brands (yang mengeluarkan Victoria’s Secret).
Dengan 944 gedung di seluruh dunia dalam tempoh 27 tahun, Uniqlo akan terus menampilkan helaian yang ringkas tapi penuh inovasi dengan menggunakan fabrik berkualiti tinggi.
Kala pintunya dibuka di Fahrenheit 88, Bukit Bintang, 4 November ini, pasti peminat fesyen Malaysia teruja dengan lebih 500 produk untuk lelaki dan wanita termasuk rangkaian kasual asas, denim Jepun, koleksi +J, Bra Top, variasi fleece dan pakaian berteknologi tinggi, Heattech.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: