KEJAYAAN hebat dilakar kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel yang baru melabuhkan tirainya kelmarin terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
TAHNIAH...Shabery bersalaman dengan Pandelela Rinong di KLIA, semalam.
Pencapaian Sukan Komanwel ke-19 ini adalah yang terbaik berikutan melepasi sasaran 10 emas dimenangi negara ketika menjadi tuan rumah temasya itu di Kuala Lumpur pada 1998.
Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya akan mengkaji semula jumlah ganjaran yang akan diberikan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, bagaimanapun kajian mendalam perlu dijalankan memandangkan ganjaran yang diberikan harus bersesuaian dengan kadar di beberapa negara lain di rantau ini.
“Saya akan minta pihak pengurusan majlis sukan mengkaji semula jumlah ganjaran ini sebelum membawanya ke kabinet, iaitu sama ada jumlah yang ditetapkan ketika ini (RM80,000) cukup atau tidak.
“Namun, jumlah yang diberikan Malaysia adalah lebih besar berbanding apa yang diberikan oleh negara lain kepada atlet mereka. Ganjaran diberikan Malaysia ketika ini, jauh lebih tinggi berbanding Australia.
“Disokong jumlah ganjaran yang besar, maka tidak menjadi halangan buat atlet kita melakar pencapaian lebih baik di masa depan,” katanya ketika menyambut kepulangan sebahagian kontinjen Sukan Komanwel New Delhi yang pulang ke tanah air, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Selain ganjaran, Shabery berkata, pihaknya turut akan mengkaji semula acara sukan yang berada di bawah program 'Road To London 2012'.
“Disokong dengan pencapaian terbaik atlet di Sukan Komanwel New Delhi, Sukan Sea Laos, serta pemerhatian di Sukan Asia Guangzhou November nanti, kita akan mengkaji semula jumlah acara sukan dalam program tersebut, sama ada menambah atau mengurangkannya,” katanya.
Katanya lagi, ketika ini program berkenaan meletakkan tumpuan kepada empat jenis sukan yang dijangka menyumbang kilauan pingat emas pertama Malaysia di temasya Olimpik, iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.“Namun, ketika ini empat acara sukan yang diberikan tumpuan itu akan dikaji semula berikutan terdapat sukan yang kita harapkan itu tidak membuahkan hasil, umpamanya memanah. Sebaliknya, gimrama pula yang menyinar dengan meraih satu emas,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Asia, Shabery berkata tidak mustahil berbekalkan pencapaian terbaik di Sukan Komanwel, atlet mampu melakar kejayaan lebih tinggi.
“Kejayaan di Sukan Komanwel menanam keyakinan yang kuat di kalangan atlet untuk tampil lebih baik dan mengaut lebih banyak pingat emas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: