MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meminta masyarakat tidak mudah menghukum atlet angkat berat negara, Aricco Jumitih, berikutan insiden tidak memakai jersi Malaysia, tetapi mengenakan baju dengan logo Sabah ketika memenangi pingat emas di Sukan Komanwel di New Delhi.
Sebaliknya, perkara tersebut perlu dilihat dari sudut yang lebih positif kerana seseorang itu tidak boleh diadili hanya disebabkan pakaian, tetapi hukuman sewajarnya ditujukan kepada atlet yang gagal memberikan persembahan terbaik dalam temasya sukan berprestij itu.
Ini kerana beliau beranggapan bahawa tidak salah bagi seseorang atlet khususnya melibatkan acara sukan angkat berat memilih pakaian yang memberikan keselesaan memandang perkara itu merupakan salah satu faktor yang membolehkan mereka beraksi dengan lebih baik.
“Kita boleh menerima keadaan sedemikian (tidak pakai jersi Malaysia) kerana dalam bidang angkat berat banyak perkara yang sensitif dan pemakaian baju atlet memainkan faktor yang sangat penting bagi membolehkan mereka beraksi dengan baik.
“Mungkin pada ketika itu (ukuran asal) baju tidak sama seperti dengan bentuk badan atlet ketika berada di New Delhi (Sukan Komanwel) sekarang dan kita perlu faham situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Selangkah Ke Universiti anjuran bersama Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, wakil Bakti yang juga isteri Ahmad Shabery, Toh Puan Che Sharifah Ismail, isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman serta pegawai-pegawai kanan yang lain.:
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai prestasi atlet yang bertanding di Temasya Sukan Komanwel XIX di New Delhi, beliau mengakui gusar dengan pencapaian yang ditunjukkan kebanyakan atlet berikutan banyak sandaran emas terlepas daripada genggaman.
“Dalam kejohanan sukan apa-apa sahaja boleh berlaku dan kita hanya boleh bercakap tentang keyakinan, namun dalam pengalaman sebelum ini sudah terbukti bahawa kita telah mencuba yang terbaik, namun takdir mengatasi segalanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: