Friday, October 1, 2010

“Industri kita mengecewakan”


Pasti ramai yang terkejut dengan kenyataan aktres jelita, Rozita Che Wan, 37,yang akan bersara dari bidang lakonan menjelang tahun hadapan. Rentetan hasratnya itu, timbul khabar angin yang mendakwa Rozita akan menamatkan zaman jandanya tidak lama lagi.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan utama pelakon berbulu mata lentik dan bertubuh seksi ini ingin bersara awal dari bidang lakonan. Bagi Rozita, hasranya itu sudah dirancang sejak awal lagi.

“Saya dah letakkan ‘target’ nak berlakon ini tak lama dan saya rasa cukuplah empat tahun saya dalam industri ini. Lagipun usia saya juga semakin bertambah dan rasa dah tua.

“Sebenarnya, tahun lepas lagi saya dah rasa penat nak berlakon. Tapi, memandangkan duit tak cukup lagi, maka saya terus berlakon lagi hinggalah penghujung tahun ini,” katanya yang mula menempa nama menerusi drama Cinta Terhalang yang pernah disiarkan di TV2.

Pelakon yang popular dengan drama Kiah Pekasam dan Kuih Goyang Seha ini juga tidak menafikan, fitnah dan gosip yang tidak putus-putus menghambat dirinya menjadi antara penyebab dia bersara awal dari dunia glamor itu.

“Sejak awal saya berlakon lagi, dah macam-macam perkara buruk yang orang kata tentang saya. Sehingga saya rasa Rozita Che Wan ini terlalu banyak cerita buruk daripada cerita baik dan terlalu banyak orang tak suka daripada yang suka.

“Bukannya merajuk, tapi saya memang terasa hati sangat dengan apa yang berlaku. Bila terlalu banyak orang bercakap buruk tentang saya, ia dah jadi satu doa. Jadi cara yang terbaik, biarlah saya bersara dari industri

“Lagipun saya nak hidup aman, tanpa gosip atau pun publisiti,” luah Rozita yang akan beralih ke dunia perniagaan sejurus bersara dari lakonan.



Tidak salah berkawan dengan Shahir

Sungguhpun hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum bersara sepenuhnya dari bidang lakonan, masih ada gosip-gosip cinta yang mengekori pelakon jelita ini.

Dia yang pernah digosipkan dengan aktor Zizan Nin dan pemain bola sepak Selangor, Asraruddin Putra Omar, digosipkan pula dengan anak muda dari program realiti Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) iaitu Shahir.

Biarpun pada mulanya Rozita enggan mengulas tentang gosipnya dengan juara AF8 itu, namun setelah diajukan beberapa kali tentang perkara itu, akhirnya dia membuka mulut.

“Saya dan Shahir tak ada apa-apa hubungan istimewa. Tapi tak ada masalah kalau kami berkawan kerana saya bebas berkawan dengan sesiapapun dan tak ada limit, selagi saya belum bergelar isteri orang.

“Shahir yang saya kenal, memang pemalu orangnya. Ketika kami menjalani penggambaran Lawaknya Fantasia Raya, usahkan nak bercakap, nak duduk sebelah pun tidak. ‘SMS’ yang dihantar pun hanya untuk bertanya khabar sahaja,” katanya yang telah mengenali Shahir secara dekat sejak anak muda itu berada dalam akademi lagi.

Menyentuh tentang jodoh, aktres kelahiran Alor Setar, Kedah, ini berkata, dia tidak menolak sekiranya dijodohkan dengan calon yang lebih muda darinya. Asalkan, pemuda itu bersungguh-sungguh mencintai dirinya.

“Kalau muda pun apa salahnya dan yang penting dia juga dapat menerima anak-anak saya, ” katanya yang tidak berminat dengan lelaki berusia meskipun yang kaya raya.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini menjelaskan, buat masa ini hatinya masih belum dimiliki sesiapa malah dia kini juga semakin selesa hidup menjanda.

“Status janda ini memang banyak dugaan, banyak fitnahnya. Tapi tak semestinya kita kena berkahwin untuk tutup semua gosip. Lagipun belum ada jodoh yang sesuai. Tak kahwin pun tak apa, sebab dah ada anak-anak yang boleh bahagiakan saya,” kata Rozita yang terlibat dengan tiga drama bersiri, Camping (TV3), Kuih Goyang Shafiq (TV3) dan Kiah Pekasam (Astro) sebelum bersara dari lakonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: