Tuesday, October 19, 2010

Heret peti besi masuk kereta

BANTU POLIS...Leong memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat polis mengenai  rumahnya dimasuki tiga perompak menaiki kereta BMW.
BANTU POLIS...Leong memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat polis mengenai rumahnya dimasuki tiga perompak menaiki kereta BMW.
BUKTI...selimut biru digunakan penjenayah.
BUKTI...selimut biru digunakan penjenayah.

SERDANG: Hanya tempoh lima minit diperlukan sekumpulan geng perompak mewah yang menaiki kereta BMW untuk mengheret beramai-ramai satu peti besi seberat kira-kira 250 kilogram (kg) ke dalam kereta sebelum melarikan diri.

Penjenayah tempatan yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu menggunakan selimut diambil dari rumah mangsa untuk membalut dan menarik peti besi keluli berkenaan dari tingkat dua rumah yang terletak di Taman Sungai Besi Indah, di sini.


Pemilik rumah yang dikenali sebagai Leong, 55, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin ketika dia dan suami tiada di rumah kerana ada urusan.


Menurutnya, ketika kejadian hanya pembantu rumah, wanita warga Indonesia dan cucu lelakinya berusia satu tahun berada di rumah.“Ketika itu, pintu pagar di hadapan rumah saya tidak bertutup menyebabkan penjenayah yang menaiki BMW dengan selamba masuk dan meletak kenderaan di pekarangan rumah.

“Penjenayah berusia 20-an itu berpura-pura mengetuk pintu sambil memanggil ‘mak cik’ berulang kali menyebabkan pembantu rumah membuka pintu tanpa mengesyaki apa-apa,” katanya.


Katanya, sebaik pintu dibuka, suspek mengacukan dua pucuk pistol dan parang sebelum meluru ke dalam rumah.“Perompak berkenaan bertanya kepada pembantu rumah saya di mana lokasi kamera litar tersembunyi (CCTV) dipasang. Bagaimanapun pembantu rumah saya tidak tahu di mana lokasi itu menyebabkan mereka menggeledah rumah mencarinya.


“Penjenayah mengesan alat perakam itu sebelum mematikannya. Sejurus itu, dua daripada mereka ke tingkat atas menggeledah semua bilik tidur manakala seorang lagi mengawal pembantu rumah saya daripada melarikan diri,” katanya.


Menurutnya, penjenayah menemui lokasi peti besi disimpan di bilik utama sebelum melarikan peti besi seberat kira-kira 250 kilogram.


“Mungkin kerana peti besi berkenaan berat, penjenayah menggunakan kain selimut untuk membalut dan menarik peti besi itu turun dari tangga di tingkat atas rumah. “Walaupun peti besi berkenaan sukar dipindahkan, penjenayah tetap berusaha dan melarikannya. Malah alat rakaman CCTV rumah saya turut dilarikan bagi mengelakkan identiti mereka dikenal pasti,” katanya.

Mangsa berkata, pembantu rumahnya yang tidak dicederakan penjenayah segera memaklumkan kejadian itu kepada jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.


“Berdasarkan siasatan awal polis, suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta BMW dipandu. Siasatan mendapati nombor plat kereta terbabit didaftarkan untuk motosikal,” katanya.


Menurutnya, dia kerugian RM250,000 apabila barang kemas RM150,000, wang tunai RM50,000, dua jam berjenama Rolex dan pelbagai dokumen yang disimpan dalam peti besi itu.


“Ini kejadian kedua kerana rumah saya pernah dirompak enam tahun lalu membabitkan kerugian wang tunai RM6,000,” katanya yang juga seorang suri rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: