Tuesday, October 19, 2010

MSN catu bajet


Datuk Zolkples Embong
Datuk Zolkples Embong

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memberi peringatan kepada semua persatuan sukan supaya bersedia lebih awal dengan kemungkinan mereka terpaksa menerima peruntukan kewangan lebih sedikit tahun depan.

Meskipun kerajaan menyalurkan RM365 juta untuk Kementerian Belia dan Sukan dalam Bajet 2011 diumumkan baru-baru ini, ini tidak bermakna persatuan sukan boleh mengharapkan peruntukan lebih memandangkan MSN perlu mengatur perbelanjaan secara berhemah dengan bajet ada.


Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, dengan peruntukkan kewangan kepada MSN yang dijangka akan menurun tahun depan, pihaknya mahu persatuan sukan perlu mengatur langkah untuk mencari jalan menampung perbelanjaan sendiri.


“Peruntukan tahun depan hanya akan diketahui hujung tahun ini tapi saya jangka peruntukkan kepada MSN akan menurun tahun depan. Kalau nak diikutkan tahun ini kami sudah mengurangkan bantuan tetapi tidak secara mendadak.


“Selepas ini kami akan beritahu setakat mana kemampuan MSN dan pihak persatuan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata sebaliknya kena cari jalan berdikari. Saya tak mahu ada lagi persatuan bising cakap MSN tak bayar dan pelbagai lagi,” katanya.Zolkples berkata, pihaknya akan membuat kajian selepas Sukan Asia Guangzhou bulan depan berakhir dalam pembahagian bantuan kewangan kepada persatuan sukan dalam melaksanakan program atlet dirancang.


Beliau menegaskan, sebanyak mana jumlah bantuan yang akan diterima sesuatu persatuan sukan itu bergantung kepada kejayaan yang dicapai atlet mereka tahun ini khususnya di Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia.


“Pastinya tidak akan ada keistimewaan buat persatuan yang gagal, bagaimanapun peruntukan kepada program Road To London 2012 akan diteruskan seperti biasa,” jelas beliau.


Untuk rekod, sebanyak RM144 juta dibelanjakan bagi persediaan atlet ke Sukan Asia dan Komanwel tahun ini sejak 2007 termasuk RM17 juta tahun ini.


Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebelum ini menjelaskan bahawa peruntukan RM365 juta yang diterima bagi Bajet 2011 akan digunakan untuk pelbagai program memajukan lagi bidang sukan negara serta program persiapan atlet menghadapi Sukan SEA di Indonesia tahun depan dan program Road To London 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: