RISIKO yang diambil sungguh besar. Beliau rela meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan yang diceburinya selama 12 tahun semata-mata mahu membabitkan diri dalam perniagaan berkaitan telefon bimbit.
TIADA JURANG...Haslinda bersama sebahagian kakitangannya.
Bagaimanapun, berbekalkan kegigihan, semangat juang yang tinggi dan tidak malu untuk menimba ilmu daripada orang lain, termasuk kakita-ngannya, membuatkan beliau tidak tersungkur, sebaliknya terus mendaki ke puncak.
Begitulah istimewanya Haslinda Haron, 37. Dua tahun bersama Saujana Erat (Saujana Erat) Sdn Bhd selaku Pengurus, beliau membuktikan kemampuannya menguruskan perniagaan dan semakin serasi dengan bidang baru yang diceburinya.
Terbukti, pencapaian syarikat Bumiputera itu yang diberi tanggungjawab Nokia sebagai pusat servis bertauliah membanggakan apabila dikenali ramai dan sehingga hari ini mempunyai puluhan ribu pelanggan.
Bukan saja orang perseorangan, malah syarikat korporat dan besar seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Celcom turut mendapatkan perkhidmatan ditawarkan.
Seperkara yang boleh dibanggakan, Saujana Erat yang ditubuhkan sejak 2001 adalah satu-satunya syarikat Bumiputera yang terpilih dan diberi keistimewaan sebagai pusat servis Nokia sejak beberapa tahun lalu.
Bagi Haslinda, pencapaiannya tidak datang bergolek kerana beliau bermula daripada bawah.
“Saya bermula daripada ‘kosong’. Bayangkan, daripada bidang perbankan bertukar kepada perniagaan berkaitan telefon bimbit, pada mulanya bimbang juga. Baru saya tahu bidang perniagaan ini bukan mudah untuk diuruskan kerana banyak ranjau perlu saya tempuhi.
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan bekerja keras dari pagi sehingga lewat malam dan turun padang tidak kira masa untuk menguruskan perniagaan mahupun bertemu pelanggan, saya mampu melakukannya,” katanya.
Semangat dan kesungguhan Haslinda ketika menceburi bidang perniagaan turut didorong pengalaman silam.
“Sejak zaman remaja memang saya minat berniaga. Saya sertai pelbagai jenis jualan langsung untuk menimba ilmu dalam perniagaan.
“Sedikit sebanyak, ilmu jualan langsung itu saya manfaatkan untuk mengukuhkan lagi perjalanan saya ketika menceburi perniagaan berkaitan telefon bimbit,” katanya.
Seperkara lagi, Haslinda mengakui sikap tidak malu bertanya dan mempelajari ilmu baru daripada orang lain, termasuk kakitangannya, turut menyumbang kepada kejayaannya.
“Dalam menguruskan perniagaan ini, tiada jurang antara sesama manusia. Saya menjalin hubungan baik dengan kakitangan kerana saya juga memerlukan ilmu daripada mereka, terutama yang sudah lama berpengalaman dalam bidang perniagaan berkaitan telefon bimbit.
“Saya tidak malu untuk bertanya dan berkongsi ilmu dengan sesiapa yang lebih berilmu,” katanya.
Haslinda tidak lupa untuk menyatakan penghargaan kepada suaminya, Isham Isnin, 47, kerana menjadi pencetus kepada keputusannya menceburi bidang perniagaan.
“Suami pelawa saya me-nyertainya untuk mengukuhkan lagi Saujana Erat. Ikutkan memang selesa makan gaji selama 12 tahun, tetapi kiranya ia ‘pengorbanan’ untuk suami juga, selain keinginan untuk mencuba benda baru.
“Bimbang juga untuk menghadapi suasana suami dan isteri bekerja sebumbung, tetapi kami berjaya melaluinya. Prinsip kami mudah, di rumah kami suami isteri, manakala di pejabat, kami rakan kongsi. Suami juga banyak membantu,” katanya.
Walaupun keutuhan Saujana Erat kini terbukti dengan sebuah ibu pejabat, enam lagi cawangan dan lebih 50 kakitangan, Haslinda tidak mendabik dada mengatakan beliau berjaya kerana mengakui perjalanannya masih jauh.
“Banyak lagi cabang perniagaan yang akan saya terokai. Apapun saya bersyukur mampu menguruskan dan memajukan lagi perniagaan yang pada mulanya asing bagi saya,” katanya.
PROFIL
NAMA: Haslinda Haron
USIA: 37 tahun
JAWATAN: Pengurus Saujana Erat Sdn Bhd
ASAL: Butterworth, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Bank Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1994
SUAMI: Isham Isnin
ANAK: Azwar (13), Aneesa (9) dan Addam (4)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: