Sunday, October 24, 2010

Emosi dari Mercedes-Benz




MUNGKIN ada sesetengah daripada kita akan tertanya-tanya, apakah praktikal kereta cabriolet (bumbung boleh dibuka) dalam cuaca tropika di Malaysia?

Mengapa tidak? Bumbung kereta ini fleksibel iaitu boleh tutup buka. Kalau panas di tengahari, tutup. Kalau redup, buka dan nikmatilah pemanduan yang berangin dan bergaya terutama di tepi pantai.

Jika terlalu bimbang dengan skeptikal seumpamanya, mana mungkin Mercedes-Benz berani membawa masuk model terbaru E 250 CGI Cabriolet ke pasaran Malaysia. Malah ia dijual pada harga RM535,888.00 seunit. Mercedes-Benz Malaysia yakin ada permintaan untuk kereta sebegini.

Dengan moto pemasaran ‘empat musim, empat penumpang’, kenderaan ini dibina untuk kesesuaian sepanjang tahun. Di Eropah misalnya, kebanyakan kereta cabriolet tidak akan kelihatan bermula pada musim luruh menuju ke musim sejuk. Namun, E-Class Cabriolet ini memberikan pemanduan selesa sama ada bumbung dibuka atau ditutup.

Antara ciri baru yang tersedia dalam E 250 CGI ini ialah penahan angin pada cermin hadapan yang boleh dibuka dan ditutup dengan kawalan butang. Dipanggil AIRCAP ia berfungsi mengurangkan desiran angin kepada semua penumpang kereta.

Bumbung lembut akustik yang boleh dibuka dan ditutup dalam masa 20 saat sahaja, walaupun kereta dipacu pada kelajuan 40 kilometer (km) sejam. Bumbung itu disimpan dalam ruang khas di panel belakang dan terpisah daripada kawasan but.

Bumbung ini juga memberikan suasana paling senyap dalam segmen cabriolet premium empat tempat duduk dengan bumbung fabrik. Aliran bunyi berkualiti tinggi pada fabrik tersebut jelas lebih baik berbanding bumbung seumpamanya pada model pesaing lain. Bunyi luaran dan bunyi angin diserap secara berkesan.

Pada kelajuan 80 km sejam misalnya, tiada kedengaran bunyi bising semasa memandu di dalam terowong atau memotong kenderaan besar seperti trak atau bas.

Pada kelajuan lebih 200 km sejam, anda boleh berbual menggunakan telefon bebas tangan tanpa gangguan.

Enjin yang dipasang pada E-Class Cabriolet E 250 CGI juga adalah inovatif dan baru iaitu enjin turbocaj yang menggabungkan kecekapan bahan api dengan keupayaan kuasa maksimum yang tinggi.

Enjin baru yang jimat bahan api ini dicapai menerusi inovasi seperti penggunaan kuasa hanya apabila kemudi roda dan pam bahan api dinyalakan, penggunaan tayar dengan halangan terbabas yang rendah dan sistem kawalan alternator yang mengambil kira situasi pemanduan semasa dan keperluan kuasa elektrik kenderaan termasuk reka bentuk aerodinamik kenderaan.

Pakej hiasan luaran merangkumi aksesori buatan AMG bagi bamper depan, sisi dan belakang. Ia menggunakan rim roda aloi 18 inci dengan enam mata berganda yang dipasang dengan cakera brek di depan, yang kesemuanya daripada pakej AMG sports.

Kereta ini juga boleh diubah-ubah sistem gantungannya sama ada ‘selesa’ atau ‘sport’.

Daripada aspek keselamatan, ia memiliki kesemua ciri-ciri yang diharapkan ada pada sebuah kereta mewah sepertinya. Ia memiliki perlindungan daripada situasi kereta terbalik dengan A-pillars diperkukuhkan dengan dua tiub tambahan dan sambungan B-pillars.

Model ini juga adalah cabriolet Mercedes pertama yang menawarkan beg udara kepala, satu daripada lapan beg udara yang terdapat padanya.

Sesi pemanduan di sekitar Tambun, Perak baru-baru ini menghala ke Sungai Siput memberikan sedikit pengalaman menarik memandu tanpa bumbung dalam E 250 CGI ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: