MELALUI blog dresskami.blogspot.com, Siti Soleha Md. Salleh, 23, dan Mohd. Nazim Muhammad Nazri Lim, 23, tampil dengan konsep jualan yang jarang dilakukan para blogger lain. Ternyata, jualan dres bundle mempunyai peminat tersendiri dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurut Soleha, dia dan Nazim mewujudkan blog tersebut tiga bulan lalu tetapi baru beroperasi secara aktif dalam tempoh sebulan apabila blog itu 'direhatkan' sempena bulan Ramadan lalu.
"Sebelum ini saya sudah mempunyai blog peribadi dan banyak melihat blog perniagaan dalam talian yang berjaya dengan menjual pelbagai barangan. Oleh itu, kami berbincang untuk menjalankan perniagaan sama.
"Pada mulanya, kami mahu menjual tudung tetapi blog menjual tudung sudah banyak di pasaran blog. Dari situ, timbul idea untuk menjual dres bundle kerana tidak ramai yang melakukannya ketika ini," katanya.
Menurut Soleha, dres menjadi kegemaran kaum wanita tetapi untuk mendapatkannya seseorang itu memerlukan modal yang agak besar kerana ia agak mahal berbanding baju-baju lain.
"Untuk sehelai dress baru, paling murah pun sekitar RM60. Sedangkan, dengan modal sebanyak itu, kita boleh membeli beberapa helai dres bundle yang masih elok dan cantik untuk dipakai.
Tambahan pula, dres tidak dipakai selalu sebaliknya hanya pada waktu-waktu tertentu. Tetapi, ada juga yang suka memadankan dres dengan pakaian lain untuk dipakai ke kelas atau ke pejabat," katanya.
Justeru katanya, dengan harga rendah, dres jualannya banyak mendapat tempahan daripada golongan pelajar kerana sebagai pelajar sudah tentu mereka kurang mampu membeli dres yang mahal.
"Kadang-kadang, orang perempuan segan hendak membeli pakaian atau dres di kedai-kedai bundle. Lagipun, pakaian lelaki lebih banyak dijual di kedai-kedai bundle berbanding wanita.
"Dres juga tidak banyak pilihan di kedai bundle. Malah di tempat tertentu komuniti bundle masih kecil," katanya.
Sementara itu, Nazim memberitahu dia dan Soleha mempunyai pembahagian tugas masing-masing untuk memastikan blog mereka sentiasa dipantau dan penghantaran boleh dilakukan dengan segera.
"Soleha akan menguruskan blog manakala saya akan melakukan kerja-kerja yang lebih berat seperti mengambil stok dres terpakai daripada pembekal, menghantar ke dobi dan sebagainya.
"Kalau baju itu sedikit, kami akan basuh sendiri. Baju yang dihantar kepada pelanggan mestilah bersih, wangi dan diseterika supaya pelanggan akan terus membeli pakaian yang dipromosi dalam blog kami," katanya.
Tambahnya, mereka mengambil stok dres daripada pembekal secara pukal iaitu sebanyak 100 kilogram setiap kali dengan harga sekitar RM400 ke RM500 bergantung kepada gred dres.
"Dalam setiap belian pukal, ada risikonya kerana dres yang kami ambil tidak semuanya sesuai dijual di blog kerana ada dres yang tidak elok. Oleh itu kami akan pilih dres yang terbaik.
"Penting untuk menjaga kualiti walaupun ia hanya sehelai dres bundle. Kepuasan hati pelanggan kami perlu dijaga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: