Thursday, October 14, 2010

Menyelamat khazanah Beirut


BANYAK kota usang di dunia menghadapi nasib yang sama seperti Beirut, iaitu apabila tapak bangunan bersejarah terpaksa bersaing ruang dengan pembinaan infrastruktur yang moden dan komersial.


PENINGGALAN warisan seni bina di Beirut yang berdepan ancaman arus pembangunan telah memaksa kumpulan penyokong pemuliharaan menyelamatkan aset negara itu.

Banyak bangunan bersejarah di ibu negara Lebanon itu mula menjadi mangsa kerakusan pemaju dan ahli politik yang ingin menjadikan kota tersebut sebagai hutan batu moden.

"Satu ketika dahulu, Beirut merupakan sebuah bandar rumah agam dan taman-taman cantik tetapi kini ia telah menjadi satu lokasi 'longgokan' bangunan tinggi dan projek pembinaan komersial," kata pengasas Persatuan Penjagaan Tapak Semula Jadi dan Bangunan Lama (APSAD), Yvonne Sursock Cochrane, 88.

"Kita sedang memusnahkan rumah-rumah yang berusia. Di negara-negara lain, tidak ada orang akan berani menyentuh warisan sejarah ini," ujar Cochrane yang keluarganya memiliki salah satu daripada rumah agam era Ottoman tercantik di Beirut.

Rumah-rumah lazim di Beirut dilengkapi tiga tingkap melengkung, balkoni borat dan bumbung berjubin merah sementara taman-taman yang menyebarkan haruman jasmin mula hilang ditenggelamkan bangunan tinggi yang tumbuh bagaikan cendawan.

Melalui perangkaan yang dilakukan Kementerian Kebudayaan pada tahun 1995, daripada 1,200 rumah agam dan bangunan-bangunan lama, hanya 400 yang masih kekal.

Pada penghujung perang saudara yang bermula pada tahun 1975 hingga 1990, sektor pembinaan telah melambung tinggi disebabkan ekspatriat kaya dan pelabur Teluk Arab meningkatkan harga. Itu telah menggalakkan pemilik hartanah Beirut menjual hartanah mereka kepada pembida tertinggi.


BANGUNAN seperti ini mendapat perhatian dan sokongan pihak pemulihara warisan di Beirut.


"Saban hari, Beirut menjadi semakin hodoh dan rakyat Lebanon telah membiasakan diri dengan keadaan tersebut," kata Pascale Ingea, seorang ahli kempen Selamatkan Warisan Beirut iaitu inisiatif dilancarkan pada tahun ini melalui rangkaian laman sosial Facebook.

"Saya rasa perlu melakukan sesuatu apabila melihat dari balkoni, rumah agam lama berusia 200 tahun yang saya kagumi dirobohkan.

"Fabrik bandar dan sosial mula menghilang. Beirut bukan lagi bandar raya yang kami kenali dulu," kata seniman berusia 33 tahun itu.

Seorang pemaju hartanah bertanggungjawab membina bangunan mewah dalam kawasan Sursock Beirut enggan memberi komen.

Sursock Beirut dahulunya menempatkan rumah agam anggun dengan sebuah rumah pangsa boleh mencecah nilai AS$3 juta (RM 9 juta).

"Saya malu kerana kita merobohkan satu rumah tradisional untuk membina sebuah menara," katanya, memohon namanya dirahsiakan. "Apa lagi boleh saya kata?"

Walaupun ramai merasakan sudah terlambat untuk menghentikan ancaman terhadap warisan seni bina Beirut, penyokong pemuliharaan masih berusaha menyelamatkan beberapa bangunan yang masih berdiri kukuh.

Siaran televisyen baru-baru ini telah menyiarkan kumpulan pemuliharaan menunjukkan batu-batu nisan yang mewakili bangunan-bangunan dirobohkan. Tunjuk perasaan itu berlatarbelakangkan pencakar langit dengan mesej agar parlimen meluluskan perundangan mengekalkan rumah-rumah warisan.

Sebarang perintah meroboh di Beirut kini perlu mendapatkan kebenaran Menteri Kebudayaan, Salim Wardy, terlebih dahulu. Beliau juga telah memperkenalkan satu talian hotline untuk rakyat melaporkan bangunan terancam.

"Langkah ini ternyata telah mengurangkan kerja merobohkan bangunan," jelas Wardy.


KERJA pengubahsuaian giat dilakukan di tapak kediaman bekas Presiden Lebanon, Fuad Shahab.


Bagaimanapun menurut kumpulan penyokong pemuliharaan, perkara yang paling diperlukan adalah keazaman politik untuk menjuarai isu tersebut.

"Lebanon dianggap perintis dalam banyak bidang tetapi dalam hal ini kita jauh ditinggalkan negara-negara Arab lain," tambah Wardy.

Kepentingan peribadi

Arkitek Fadlallah Dagher, yang juga seorang ahli APSAD, berkata memandangkan kebanyakan ahli-ahli politik Lebanon berkecimpung dalam bidang hartanah, tidak menghairankan jika rang undang-undang untuk melindungi warisan seni bina negara terperap di parlimen selama lapan tahun.

"Di Lebanon, penglibatan ramai ahli politik terlibat dalam bidang hartanah bukan satu rahsia lagi. Mereka tidak berminat dalam usaha pemuliharaan," kata Dagher yang menetap di vila keluarga dekat kawasan tradisional Gemayzeh.

"Di mana ada tanah, di situ ada duit yang boleh dibuat," tambahnya. "Pernah sekali, saya diberitahu pemaju hartanah agar tidak mencampuri urusan mereka dan pergi ke tempat lain jika ingin melihat warisan budaya."

Wardy mengakui bahawa dia berdepan tekanan yang sangat besar oleh ahli-ahli politik dan pemaju-pemaju. Dia malah ditawarkan rasuah untuk menutup sebelah mata berhubung kemusnahan berkenaan.

"Kami hanya mencuba mengekalkan identiti bandar raya kita," katanya. "Kami mencuba untuk menyelamatkan apa yang masih ada."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: