MEREKA datang dari latar belakang berbeza, namun berkongsi impian yang sama mahu meraih kedudukan utama dalam program Gadis Melayu musim ketiga yang hanya tinggal sebulan saja lagi sebelum pemenangnya diumumkan pada 29 Oktober.
Tiga gadis manis, Norhidayah Samsudin, 21; Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21; dan Norazrina Mohd Salleh, 25, antara sembilan peserta yang bersaing merebut gelaran itu, malah setiap seorang mempunyai misi tersendiri.Mengakui cabaran sengit menanti di hadapan mata sekali pun tiada penyingkiran bagi musim kali ini, masing-masing menahan debaran, selain cuba menonjolkan kebolehan dan bakat semula jadi untuk memancing tumpuan juri.Bagi usahawan blog, Norazrina yang mesra disapa Rina, enam tugasan berkumpulan yang diberikan sepanjang program berlangsung memberikan pengalaman berbeza yang dianggap sebagai pelajaran berharga dalam menempuh perjalanan seterusnya. Saya hanya menjalani rutin biasa - bekerja.
Namun apabila menyertai Gadis Melayu, saya berpeluang mendalami kerja dan pengalaman sebagai wartawan, membuat penyelidikan, mendekati pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi sebahagian keluarga penerbitan ini. Di sinilah saya belajar memproses segala ilmu.
Walau dalam masa singkat, ia suatu pengalaman baru yang barangkali hanya datang sekali seumur hidup dan seboleh mungkin saya cuba mengaut segala pengetahuan yang ada, kata gadis yang ramah berbicara itu.
Pendapatnya disokong Nurzakiah kerana sejak episod pertama, mereka didedahkan dengan pelbagai ujian kemahiran komunikasi, kerja berkumpulan, ketajaman minda dan sebagainya yang menuntut keyakinan diri.
Katanya, sebelum ini dia hanya nampak hasil terakhir sesuatu projek atau program di televisyen terutama berkaitan rancangan realiti tetapi apabila berada dalam Gadis Melayu, baru disedari ia tidak semudah disangkakan.
Apatah lagi perlu bekerjasama dengan ramai pihak termasuk orang ramai, kumpulan produksi serta pencabar lain yang pastinya masing-masing mempunyai ragam. Malah mereka memerlukan daya kemahiran toleransi yang tinggi.
Saya bertuah kerana mempunyai asas seni tarian yang sememangnya memerlukan kerjasama berkumpulan membuatkan saya tidak kekok apabila diminta menjayakan projek bersama individu berlainan, kerana yakin masing-masing mempunyai kelebihan.
Kita tahu setiap calon ialah pencabar, namun program ini sebenarnya bukan saja menilai bakat malah keperibadian peserta untuk mencari calon paling layak dinobatkan sebagai Gadis Melayu dengan memiliki kriteria tertentu, ujar guru tarian itu lagi.
Gelanggang bina keyakinan diri
BAGI Hidayah yang kerap mencabar diri menonjolkan bakat menerusi pertandingan seumpama itu, Gadis Melayu katanya, menjadi gelanggang untuk menonjolkan kebolehan dalam arena pengacaraan.
Pada usia 18 tahun, bersama dua lagi teman, kami pernah mencuba nasib dalam uji bakat Geng Starz di Johor Bahru dan mara hingga ke peringkat pemilihan di Kuala Lumpur. Biar hanya setakat itu, pengalaman berkenaan membuatkan saya lebih yakin beraksi di hadapan ramai.
Kini selepas tiga tahun berlalu, saya cukup bersyukur apabila keberanian diri mempertaruhkan bakat dalam pencarian Gadis Melayu membolehkan saya berdiri bersama lapan lagi peserta lain di pentas program ini dan pastinya saya tidak akan mensia-siakan peluang ini, kata anak keempat daripada sembilan bersaudara itu. Selain Rina, Zakiah dan Hidayah, calon lain ialah Siti Nur Afiqah Abdullah, 21; Afiqah Hazwani Md Nordin, 18; Fatheen Nabila Ghazali, 24; Nor Shamimi Ernida Mansor, 20, Nur Diana Zainuddin, 19; Siti Amira Mustakhim, 24 dan Siti Mastura Mohamed Saleh, 25.
Sepanjang 10 minggu program bersiaran di TV9 bermula 27 Ogos lalu, semua peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan perlu menyempurnakan tugasan diberikan termasuk mengumpul dana, mengendalikan majlis kenduri, berkhemah di hutan, mempelajari pembuatan jamu dan mendalami istiadat perkahwinan Melayu.
Masing-masing mengakui setiap tugasan cukup mencabar minda dan fizikal, cuma kerjasama kumpulan dan hasil gabungan idea setiap ahli membuahkan hasil apabila pada hari ditentukan, mereka mampu menyempurnakan tanggungjawab diberikan.
Seperti dikatakan Zakiah, dalam sesebuah organisasi atau kumpulan amat penting untuk menyuarakan pendapat bagi mendapatkan hasil terbaik, bukan sekadar mengikut telunjuk orang atau mengiyakan semua perkara.
Saya tidak kisah menjadi pengikut atau mengetuai sesuatu tugasan. Masingmasing punya kekuatan, jika saya punya pengetahuan atau asas dalam tugasan berkenaan, saya akan mengetuai projek namun jika rakan lain lebih layak, mereka akan memikul tanggungjawab itu.
Tetapi tidak bermakna yang lain lepas tangan kerana masing-masing berpeluang menyuarakan pendapat dan menjalankan tanggungjawab berdasarkan pembahagian kerja kerana itu asas penyelesaian tugasan berkumpulan, katanya yang berdebar menanti 29 Oktober ini.
Begitupun masingmasing tidak menyembunyi gelisah hati, malah sepakat menyatakan tugasan paling mencabar adalah mengumpul dana membantu individu atau kelompok sasaran tambahan pula ia antara tugasan terawal, sekali gus membuatkan mereka agak kekok kerana masih mencari rentak.
Bagi Rina, menyediakan kertas cadangan, menyelidik latar belakang responden dan melihat sendiri kehidupan individu yang mahu dibantu membawa 1001 rasa apatah lagi kerja itu dilaksanakan pada bulan puasa dan pastinya mengundang sayu di hati mereka.
Selama ini saya hanya melihat kesengsaraan orang lain menerusi paparan di televisyen khususnya, tetapi kali ini saya yang perlu membantu mereka dan pastinya berdepan pengalaman itu membuatkan saya lebih mensyukuri kehidupan ini selain menghargai insan kurang bernasib baik, katanya.
Begitu juga dengan Hidayah yang turut berkongsi kesayuan sepanjang melaksanakan tugasan pengumpulan dana namun tidak mahu terbawa-bawa dengan kata hati memandangkan wang serta bantuan yang berjaya dihimpunkan nanti mampu menyuntik sinar ceria kepada responden.
Apa pun semua kemanisan yang kami tempuhi sepanjang episod Gadis Melayu sukar diungkap dengan kata-kata. Biar ada kalanya berdepan dugaan, semua itu berjaya diharungi bersama malah boleh dianggap semua peserta bersaing secara sihat bagi merebut gelaran Gadis Melayu, ulasnya ringkas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: