
SAAT kali pertama menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, hati saya menjadi berdebar-debar. Mengenangkan peraturan biosekuriti yang dilaksanakan di negara Kiwi, hati saya tiba-tiba menjadi tidak keruan.
Pihak kastam yang melaksanakan peraturan tersebut ternyata tidak memandang sebelah mata kepada setiap individu yang memasuki New Zealand. Satu peket kopi segera yang dibawa oleh ibu saya telah dirampas, atas alasan mempunyai kandungan susu lembu dari Malaysia.
Namun, perkara tersebut bukanlah menjadi masalah besar kepada kedua-dua pihak, saya memahami tindakan itu. Kami dibenarkan masuk ke balai ketibaan dan disambut oleh abang saya yang telah berada di sana. Ahli keluarga lain yang mengikuti percutian kali ini meneruskan aktiviti meneroka bandar Auckland, tetapi saya memilih untuk berehat seketika kerana terlalu letih.
Keindahan luar bandar

Sedikit kisah mengenai bandar yang terbesar di New Zealand tersebut. Auckland seperti bandar-bandar utama di dunia kelihatan serba lengkap, mewah dan efisien. Namun begitu, saya lebih tertarik dengan kawasan luar bandarnya berbanding kawasan bandar.
Pada keesokan harinya, saya telah memulakan penjelajahan untuk menyaksikan setiap penjuru negara itu dengan memandu sebuah kereta yang disewa. Destinasi pertama dalam perancangan kami ialah Rotorua.
Sebelum itu, kami singgah berehat di sebuah taman awam di Hamilton. Istimewanya taman ini, ia mempamerkan pelbagai konsep seperti taman Jepun, Itali, Amerika Syarikat dan China. Paling mencuri tumpuan, Taj Mahal mini di taman yang berkonsepkan India.
Kami meneruskan perjalanan ke Rotorua, yang merupakan bandar pelabuhan terbesar di New Zealand. Rotorua terkenal sebagai pusat kebudayaan Maori, geotermal, tasik Rotorua dan 'Hobbitton' iaitu set pengambaran filem Lord of The Rings.
Kolam dan perigi geotermal terdapat di mana-mana sahaja, tetapi pengunjung perlu berhati-hati kerana wap yang dikeluarkan mempunyai kandungan sulfur yang sangat tinggi dan boleh menjejaskan kesihatan.

Selepas bermalam di Rotorua, kami meneruskan perjalanan ke Wanganui melalui Taupo dan Turangi.
Taupo terkenal dengan keindahan tasiknya yang merupakan tasik terbesar di New Zealand. Saiznya dikatakan menyamai keluasan negara Singapura dan ia kelihatan seakan sebuah lautan yang terbentang luas. Perjalanan kami disapa oleh Mount Ruapehu yang indah separa putih bersalji tetapi masih aktif sebagai gunung berapi.
Terlalu banyak padang ragut lembu sepanjang perjalanan tersebut, tetapi saya tidak pernah berasa bosan melihatnya.
Aidiladha di Franz Josef
Di Wanganui, kami berkesempatan mengunjungi Durie Hill Elevator, iaitu struktur lif bawah tanah sedalam 200 meter dan mempunyai puncak setinggi 65 meter. Menurut sumber, hanya terdapat dua bangunan seperti itu di dunia.
Bagi mengakhiri penjelajahan di pulau utara, kami meneruskan perjalanan ke ibu negara New Zealand iaitu Wellington. Digelar sebagai Windy Wellington, ia bukanlah tempat yang sesuai bagi anda untuk mendandan rambut mahupun membawa payung ketika bersiar-siar kerana keadaan angin di kawasan itu yang agak kencang.
Setibanya di situ, kami sekeluarga terus ke Mount Victoria bagi menikmati pemandangan bandar Wellington yang berlatarbelakangkan Selat Cook yang membiru. Kebanyakan penduduk di sini gemar mendirikan rumah di lereng-lereng bukit menghadap laut.
Menariknya, menurut seorang pegawai Pegawai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand yang ditemui di situ, harga menyewa rumah di Mount Victoria bergantung kepada pemandangan yang disajikan berbanding keluasannya.
![]() |
| DURIE Hill Elevator iaitu struktur lif bawah tanah sedalam 200 meter |
Untuk ke pulau selatan, kami perlu menaiki feri merentasi Selat Cook iaitu ke pekan kecil Picton. Feri 10 tingkat itu lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk restoran, dek peninjau dan pusat permainan kanak-kanak.
Perjalanan selama tiga jam bagaikan tidak terasa, kami dihidangkan dengan pemandangan indah yang tidak terungkap dengan kata-kata. Setibanya di Picton, kami meneruskan perjalanan ke pekan kecil Westport untuk bermalam di situ.
Walaupun ia merupakan sebuah pekan kecil, tetapi segala kemudahannya lengkap. Pada keesokan harinya, iaitu saat umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, kami meneruskan perjalanan ke Franz Josef melalui pekan Greymouth.
Kami melalui banyak tasik yang indah dan sangat bersih. Sehinggakan, ibu saya berkata seperti tiada sesiapa yang pernah menjumpai tasik-tasik ini sebelum kami.
New Zealand sememangnya bersih dah segar bukan sahaja disebabkan faktor geografinya, malah disiplin penduduknya menyumbang kepada keindahan negara mereka.
Franz Josef adalah lokasi glasier yang terbentuk sejak beribu-ribu tahun dahulu. Namun, disebabkan masalah pemanasan global, ia semakin mencair setiap hari. Perjalanan diteruskan ke Queenstown melalui Haast dan Wanaka.
Ia juga merupakan perjalanan paling panjang yang kami tempuhi iaitu 354 kilometer. Tanpa disedari, kami turut melalui jalan berturap yang terletak pada lokasi paling tinggi di New Zealand iaitu di Crown Range. Bayangkan, kedudukannya yang setinggi 1,076 meter dari aras laut.
Queenstown, bandar yang penuh dengan aktiviti rekreasi yang ekstrem, turut menjadi destinasi tumpuan rakyat Australia untuk berlibur.
Bak di Eropah

Di situ, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti bungy jumping, parasailing dan white water rafting. Tidak ketinggalan cenderamata yang menarik untuk rakan-rakan dan saudara mara di Malaysia kerana harganya lebih murah di situ berbanding bandar lain.
Pemanduan kami diteruskan ke Oamaru yang terletak di pantai timur pulau selatan yang diberi jolokan Bandar Victoria kerana terdapat bangunan lama yang bercirikan Victorian. Penginapan Penguin Biru menjadi pilihan utama kami untuk bermalam di bandar ini.
Ternyata, ia tidak menghampakan, kerana kami berjaya melihat penguin biru sebenar yang hidup secara liar. Namun, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi menjaga habitat penguin tersebut.
Walaupun melancong sewaktu musim panas, cuaca di New Zealand sukar dijangkakan. Suhu pada waktu siang di Oamaru adalah sekitar 23 darjah celcius dan selepas hujan, ia boleh jatuh sehingga 7 darjah celsius. Peringatan daripada saya kepada anda yang bercadang ke sana, walau pada musim panas, jangan lupakan baju tebal.
Christchurch menjadi destinasi terakhir kami. Antara bandar utama di New Zealand, ia mempunyai segala kemudahan yang serba lengkap. Namun, Christchurch lebih menarik berbanding bandar-bandar yang lain dan disifatkan lebih Inggeris.
Bapa saya sendiri merasakan seperti melawat Eropah ketika berada di Christchurch kerana bangunan di situ yang lebih bercirikan Inggeris.
Selepas bermalam di situ, tibalah masanya kami untuk pulang ke tanah air setelah 10 hari mengembara di bumi yang mempunyai populasi hampir 4.4 juta orang itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: