Sunday, October 24, 2010

Bintang golf wanita di KLGCC


Natalie Gulbis


PANAS terik dan mungkin hujan di sebelah petang bakal memberi cabaran kepada para jelitawan yang juga jaguh-jaguh golf wanita dunia yang buat pertama kali akan tampil beraksi di bumi Malaysia.

Malah kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia merupakan pertama kali kejohanan golf wanita di Asia yang menampilkan kehadiran hampir semua pemain terbaik di dunia.

Cabaran cuaca yang tidak menentu itu tadi bakal dilalui oleh semua pemain pemain terbabit yang akan menguji East Course, Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) yang dinaik taraf khusus untuk kejohanan berprestij itu.

Hari ini kejohanan tersebut masuk hari ketiga selepas pusingan proam kelmarin dan, pusingan pertama yang berlangsung hebat semalam. Debaran mungkin semakin terasa pada hari esok iaitu hari penentuan bagi merebut hadiah kemenangan bernilai AS$$1.8 juta.

Peminat golf sejati sudah pasti tidak akan melepaskan peluang menyaksikan sembilan dari sepuluh pemain terbaik dalam senarai Ranking Dunia Rolex - Ai Miyazato, Cristie Kerr, Jiyai Shin, Suzann Pettersen, Yani Tseng, Na Yeon Choi, Michelle Wie, In Kyung Kim dan Song-Hee Kim bakal bersaing. (Ranking Rolex pada 11 Oktober 2010).

Kehadiran pemain-pemain yang sentiasa menghiasi muka depan majalah golf antarabangsa dan sering mendapat tumpuan penuh di kaca televisyen bagi kejohanan besar di luar negara, telah disahkan oleh penaja utama, Sime Darby dan penganjur kejohanan IMG, baru-baru ini.

Selain bintang-bintang yang telah disebutkan tadi, pemain ranking 13 dunia Inbee Park turut mengesahkan penyertaan, lantas memastikan penyertaan sepuluh pemain terbaik dalam ranking wang kemenangan rasmi LPGA ini.

Ini jelas sekali memberi petanda bahawa kehadiran pemain bintang itu menunjukkan komitmen penganjur untuk membawa pemain-pemain LPGA terbaik ke Malaysia dalam usaha menaikkan sukan golf wanita di rantau ini.

Pemain terkenal lain yang turut bakal beraksi adalah Anna Nordqvist (No.11 dunia), Catriona Matthew (No.27 dunia), Sophie Gustafson (No.28 dunia), juara kejohanan Sybase Match Play 2010, Sun Young Yoo (No.26 dunia) dan Mika Miyazato (No. 24 dunia), yang baru-baru ini memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Jepun.

Katherine Hull dari Australia, yang baru-baru ini menduduki tempat 20 pemain terbaik LPGA berikutan kemenangannya di Navistar LPGA Classic turut berharap dapat meneruskan persembahan terbaik di KLGCC.

Antara pemain popular dan terkemuka lain yang akan beraksi di Kuala Lumpur adalah Natalie Gulbis, Hee Young Park dan ahli LPGA dan World Golf Hall Fame, Juli Inkster dan Se Ri Pak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: