KUALA LUMPUR: “Kami bimbang kejadian lif terhempas terjadi di pangsapuri ini berikutan keadaan lif yang sering rosak,” luah penduduk Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong, Shahrom Mohamad Nasir.
BERSESAK...penduduk terpaksa menggunakan satu lif di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. Gambar kecil, Shahrom.
“Malah, boleh dikatakan seminggu hingga empat kali lif rosak dan amat menyukarkan penduduk melakukan kegiatan harian. Mujur tiga blok pangsapuri ini bersambung dan jika satu lif rosak, penduduk boleh menggunakan lif blok lain.
“Tambahan pula saya tinggal di tingkat 13, keadaan itu menakutkan apatah lagi selepas kejadian lif terhempas di Petaling Jaya, baru-baru ini. Penduduk kini berasa tidak selamat kerana khuatir berlaku kejadian sama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kebimbangan penduduk bermula apabila kejadian lif terhempas di Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri, Petaling Jaya, yang hampir meragut empat nyawa penduduk pangsapuri itu, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, sepasang suami isteri dan dua pelajar cedera selepas lif dinaiki mereka untuk pulang ke rumah masing-masing terhempas di tingkat bawah Blok A pangsapuri terbabit.
Sebelum itu, tinjauan Harian Metro di Pangsapuri Mutiara Magna mendapati terdapat dua lif di satu blok itu dan satu daripadanya ditampal notis dibaik pulih dan penduduk perlu bersesak menggunakan satu lif yang berfungsi.
Bagaimanapun, Shahrom berkata, lif yang kerap rosak itu mungkin disebabkan sikap segelintir penyewa yang tidak menjaganya dengan baik.
“Hampir 80 peratus penyewa terdiri daripada warga asing dan menyebabkan banyak kemudahan di sini rosak. Kini, kehidupan di sini kurang selesa dengan kehadiran mereka yang rata-rata tidak mahu bertanggungjawab menjaga kemudahan.
“Ketika mula-mula tinggal di sini lima tahun lalu, masalah kerosakan lif jarang berlaku, tapi keadaan berubah sejak kebelakangan ini dan penduduk amat berharap lif dapat ditukar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Katanya, penyelenggaraan lif di pangsapuri itu diambil alih Badan Pengurusan Bersama (JMB) daripada pihak pemaju dan segala urusan berkaitannya di bawah tanggungjawab JMB pangsapuri berkenaan.Sementara itu, Pengerusi JMB, Mohd Nasir Shamsudin, berkata penduduk tidak perlu bimbang berikutan pihaknya sudah mengambil langkah tertentu supaya kejadian di Petaling Jaya tidak berlaku di pangsapuri berkenaan.
“Kami prihatin dengan kebimbangan penduduk dan diharap supaya penduduk bersabar serta tidak bimbang kerana pengurusan akan melakukan yang terbaik untuk menangani masalah lif rosak.
“Lif di Blok C dan D sudah dibaik pulih sepenuhnya dan tidak lagi bermasalah manakala hanya tinggal Blok B yang dibaiki. Bagaimanapun, kerjasama penduduk amat diharap supaya menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: