Sunday, October 24, 2010

Bakal muncul dengan album keempat hujung tahun ini



Setiap selebriti tidak kira tempatan mahupun luar negara pasti mempunyai cara tersendiri meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang, yang tentunya selama ini banyak menyokong karier seseorang selebriti itu.

Tidak terkecuali juga buat figura bernama Mohd Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam Af2. Bagi Adam, setiap kali dia mengadakan persembahan di mana-mana lokasi, kesempatan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Bagi Adam, persembahan pentas seperti showcase, konsert mini, konsert sepatutnya dilakukan secara kerap kerana jika seseorang artis itu sendiri mahu buat persembahan pentas, artis itu perlu satu bajet yang besar.

“Jadi Adam rasa showcase seperti ini memberi situasi ‘menang-menang’ kepada artis dan penganjur kerana mendatangkan kelebihan dan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

“Malah, bagi Adam sendiri, ini adalah salah satu medium untuk Adam meluangkan masa sebaik mungkin dengan peminat Adam yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap karier seni Adam,” katanya yang menjayakan Showcase TM Chill Out anjuran Telekom Malaysia (TM), di PKNS Shah Alam. TM mempromosikan produk dan perkhidmatannya di beberapa lokasi terpilih.

Tambah Adam lagi dia berasa puas, malah stamina dan semangatnya akan meningkat setiap kali dapat melihat peminatnya terhibur dengan lagu dan tariannya di atas pentas.

“Setiap kali Adam membuat persembahan untuk TM Chill Out ini, Adam akan menyampaikan purata 20 lagu untuk dua persembahan, petang dan malam. Jadi Adam akan jaga stamina agar dapat menyanyi dan menari dengan baik.

“Selain membawakan lagu-lagu dari album terdahulu, Adam juga membawa beberapa lagu dari album keempat Adam, yang akan dilancarkan sekitar hujung tahun ini,” katanya yang menganggap peminat sebagai nadi penting dalam karier seninya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: