“HARI ini warga kota tahu adanya terlalu banyak kenderaan di sepanjang Lebuh Raya Damansara - Puchong (LDP). Semua orang tahu laluan ini sesak terutama pada waktu puncak.
“Apa yang jadi masalah apabila ramai yang tak tahu punca sebenar LDP sesak,” demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sazally Saidi.
Ketika ditemui Mingguan mStar beliau berkata, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pesat di sepanjang laluan LDP menjadi punca utama lebuh raya itu menjadi sesak hari ini.
Laluannya yang bersifat ‘terbuka’ dan menjadi satu-satunya jalan yang menghubungkan Kuala Lumpur arah utara dengan Kuala Lumpur arah selatan telah menarik minat pelabur dan pemaju untuk membangunkan kawasan di sepanjangnya termasuklah kawasan Puchong yang kini mengalami kesesakan kritikal.
“Pembangunan yang kita lihat sekarang secara amnya menunjukkan pembinaan LDP telah mencapai matlamatnya selain melengkapkan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dibina pada 1995.
“Di kiri kanan LDP kita dapat lihat banyak pusat komersial dan kawasan perumahan dibina terutama di kawasan Kelana Jaya, Bandar Sunway dan paling banyak di Puchong,” katanya.
Sazally menjelaskan, pembangunan sosio-ekonomi yang ada sekarang memang dirancang tetapi sama sekali tidak dijangka membangun begitu pesat sehingga mengheret pengguna LDP berdepan dengan kesesakan hampir setiap hari.
Jelasnya, sejak dibuka pada 25 Januari 1999, kini terdapat sebanyak 66 projek berskala besar dan sederhana di sepanjang laluan lebuh raya itu.
Terkini, ruang komersial keseluruhannya berkeluasan kira-kira 14 juta meter persegi dengan pertambahan sebanyak 85,000 unit rumah baru.
“Bila ada kawasan dibangunkan, tentulah penduduk bertambah. Begitu juga kenderaan.
“Kalau sebelum tahun 1999 jumlah kenderaan di Petaling Jaya (PJ) hanya 240,000 sehari, hari ini ia meningkat kepada satu juta kenderaan sehari.
“Di Puchong pula, jumlah kenderaan meningkat sepuluh kali ganda. Dulu cuma 30-40 ribu sehari, tapi sekarang sehari 400 ribu kenderaan,” jelasnya.
Berdasarkan kajian Litrak, satu juta kenderaan dari PJ yang memasuki LDP akan terlepas daripada membayar tol dan menjadi punca lambakan kenderaan di situ.
Mengulas tentang LDP yang sememangnya dibina bersifat terbuka dan bagi memberi akses perjalanan lancar kepada penggunanya, Sazally berkata lebuh raya itu kini menerima masuk kenderaan dari tujuh lebuh raya utama.
Bermula dari Sri Damansara kenderaan dari MRR2 akan memasuki laluan ini, diikuti Lebuh Raya Sprint (Penchala Link), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Damansara, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Syarikat Konsesi Lebuh Raya (Kesas) dan Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE).
“Selain kenderaan dari tujuh lebuh raya itu, kenderaan juga sering keluar-masuk dari 200 simpang yang ada di laluan ini,” katanya sambil memberitahu purata jarak satu persimpangan dengan persimpangan seterusnya ialah 40 meter.
Plaza tol bukan punca LDP sesak
Menyedar kepentingan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada penggunanya, termasuklah menangani masalah kesesakan, Litrak sentiasa menjalankan kerja penambah baikan sejak laluan ini dibuka sehingga ke hari ini.
Usaha yang dilakukan termasuklah menyediakan laluan yang lebih selesa dan mampu memenuhi kapasiti trafik semasa seperti melebarkan jalan, membina jalan bertingkat, menambah lorong dan sebagainya.
Kerja-kerja naik taraf oleh Litrak dapat dilihat dengan pertambahan lorong dari Sri Damansara ke Bandar Utama dan laluan bertingkat di Kelana Jaya serta Puchong.
Menurut Sazally bermula tahun 2009 hingga 2012, sebanyak RM300 juta diperuntukkan dalam usaha melancarkan perjalanan di kawasan Puchong dan Petaling Jaya.
“Sejak 1999 lagi kita telah jalankan kerja naik taraf dengan belanja sebanyak RM900 juta yang dikeluarkan Litrak sendiri.
“Kita tak duduk diam sebaliknya sentiasa mencari jalan keluar dan buat sesuatu untuk mengatasi masalah yang timbul.
“Litrak bukan cuma kenakan tol kepada pengguna tapi tak buat apa-apa. Kemudahan yang ada sekarang adalah hasil kutipan tol,” katanya.
Katanya, sebagai sebuah syarikat korporat yang dipertanggungjawab menyelia laluan ini, Litrak akan sentiasa memberi kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada penggunanya.
Dalam pada itu, Sazally menolak pendapat bahawa empat plaza tol di LDP menjadi punca kesesakan sehingga ada pengguna yang mencadangkan supaya Litrak menghapuskan plaza tol yang ada.
“Kesesakan bukan berlaku di pondok tol, tetapi di laluan LDP yang banyak kenderaan keluar dan masuk terutama di Lebuh Raya Persekutuan,” katanya.
Jelasnya, keadaan trafik juga bertambah baik sejak laluan kontra diperkenalkan pada 8 Mac lalu untuk pengguna di kawasan Puchong sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan di Plaza Tol PJ Arah Selatan.
Malah, Litrak juga sedang berusaha melaksanakan laluan tambahan di kawasan Puchong bagi menggantikan laluan kontra yang bersifat sementara itu.
Tanggungjawab semua pihak
Litrak juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran dan masalah dalam menangani isu kesesakan ini termasuklah masalah kawasan.
“Kalau mahu lebarkan jalan, kita kena buat dalam kawasan kita sendiri, dalam kawasan yang kita ada sahaja. Kita tak boleh ganggu kawasan orang lain.
“Masalah juga timbul bila kita nak buat sesuatu tapi sukar mendapat kerjasama daripada pihak tertentu. Masalah-masalah seperti ini akan membuatkan rancangan tergendala,” katanya.
Mengulas masa depan LDP, Sazally berkata laluan ini akan bertukar wajah dan paten apabila projek Transit Aliran Ringan (LRT) siap kelak.
“Dalam masa yang sama Litrak juga akan menggiatkan usaha bagi menangani isu ini,” katanya.
Tambahnya, isu ini mampu diselesaikan jika setiap pihak bertanggungjawab menjalankan peranan masing-masing.
Selain meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat kajian dan bertindak, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan ‘zon pembangunan’ agar sesuatu pembinaan atau projek dapat dikawal sehingga memberi kesan kepada pengguna lebuh raya.
Jalan alternatif yang menyerupai fungsi LDP juga mampu membuatkan pengguna tidak membuang masa dan tenaga serta dapat menikmati keselesaan semasa memandu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: